Tindakan Menteri Melangkaui Kuasa Speaker Ditempelak Ahli Parlimen Kerajaan Sendiri

KUALA LUMPUR, 18 Okt – Dewan Rakyat hari ini meriah apabila Ahli Parlimen kerajaan sendiri mempersoalkan tindakan menteri yang melangkaui bidang kuasa Speaker Dewan Rakyat.

Ini terjadi apabila Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Sungai Petani Datuk Johari Abdul membangkitkan isu bidang kuasa Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad yang mengenakan larangan merokok di Parlimen bermula kelmarin.

Johari menegaskan bahawa menteri tiada kuasa menguatkuasakan undang-undang itu kerana Parlimen berada di bawah bidang kuasa Speaker.

Larangan merokok di kawasan Parlimen yang dikuat kuasa Kementerian Kesihatan dilihat bercanggah dengan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Ini Dewan (kuasa Speaker). Tidak ada menteri ada kuasa. Saya melihat mana mungkin menteri pergi pelekat notis ikut suka hati dia. Tak boleh. Dia kena bincang dengan Speaker.

“Speaker akan maklum kepada kita. Biarlah Speaker yang letak notis,” katanya.

Beliau memohon agar Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof menarik balik notis yang ditandatangani Dr Dzulkefly.

Usul Johari ini disokong oleh Ahli Parlimen BN, Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau) dan Datuk Bung Moktar Radin (Kinabatangan).

Menurut Bung, tiada pegawai penguatkuasa dibenarkan meronda di Parlimen tanpa kebenaran Speaker.

“Kami beri kuasa penuh kepada Speaker untuk selesai. Mereka harus hormati Yang di-Pertua,” kata Bung Moktar.

Ariff dalam jawapannya terhadap isu dibangkitkan itu berkata akan mengeluarkan ‘petua’ yang berkaitan setelah mengkaji undang-undang dan peraturan mesyuarat.

Semalam beliau berkata, pegawai kementerian kesihatan termasuk menterinya tidak berbincang dengannya berhubung tindakan penguatkuasaan larangan merokok tersebut.

Setakat ini, lapan orang, termasuk ahli parlimen penyokong kerajaan telah didenda apabila larangan merokok dikuatkuasakan di kawasan Parlimen 15 Oktober lalu. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.