Permainkan Maruah Lawan, Politik Berasaskan Dendam Jadi Mainan Kerajaan PH – Jalaluddin

JELEBU, 18 Okt – Desas-desus yang semakin hangat berlegar yang mengatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada esok hanyalah bertujuan untuk memalukan seorang pemimpin yang sentiasa berjuang untuk rakyat, bidas Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Jalaluddin Alias.

Menurutnya, tindakan tersebut merupakan salah satu strategi untuk memaparkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sebagai seorang yang tidak amanah dan tidak layak untuk menjadi pemimpin sedangkan rakyat tahu beliau banyak berjasa kepada negara ini.

“Pendakwaan ini juga dilihat sebagai rentetan kepada usaha untuk memalukan pemimpin-pemimpin UMNO di seluruh negara bermula dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Azeez Rahim. Turut didakwa ialah Datin Seri Rosmah Mansor.

“Namun, saya yakin rakyat Malaysia tidak akan terpengaruh dengan niat jahat kerajaan kerana umum mengakui Dr Ahmad Zahid sejak dulu lagi membela rakyat tanpa melihat asal keturunan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Jelas Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Dr Ahmad Zahid sentiasa membantu rakyat di seluruh negara atas kapasitinya yang pernah menjadi orang nombor dua pucuk pimpinan Putrajaya dahulu, selain mempengerusikan berpuluh jawatankuasa Kabinet yang bertujuan membantu rakyat.

“Dr Ahmad Zahid sendiri telah membangunkan banyak pusat tahfiz dan membina masjid demi mewujudkan lebih ramai huffaz dan menyuburkan syiar Islam di seluruh negara.

“Apakah salah membantu membentuk rakyat yang berilmu dan menghayati ajaran Islam di negara ini,” soalnya lagi.

Sehubungan itu, Jalaluddin mendesak agar kerajaan memberhentikan tindakan tidak bermoral ini, sekiranya benar, yang lebih dilihat bermotifkan dendam dan seharusnya mereka lebih menumpukan usaha membela kebajikan rakyat.

“Kita mahu kerajaan memberhentikan tindakan tidak bermoral ini yang dilihat seolah-olah untuk menonjolkan imej kurang baik seorang pemimpin tulen.

“Kerajaan seharusnya memberi tumpuan untuk membangunkan negara demi kepentingan rakyat dan bukannya mengamalkan politik membalas dendam.

“Cukup-cukuplah menyalahkan orang lain sebaliknya bantulah rakyat yang semakin resah gelisah kerana tiada pekerjaan dan terkesan dengan kenaikan harga barang,” tegasnya. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.