PAU2018… Memang Wujud Kebimbangan Tetapi Akhirnya Di Luar Jangkaan – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui wujudnya rasa bimbang di dalam dirinya, termasuk para pemimpin lain termasuk di peringkat akar umbi berhubung sambutan serta kehadiran ahli dan perwakilan UMNO pada Perhimpunan Agung 2018 yang lepas memandangkan parti ini tidak lagi menjadi kerajaan selepas PRU ke 14 yang lalu.
Menurut beliau, perasaan bimbang dan ragu-ragu itu ditambah pula dengan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya perhimpunan kali ini menjadi satu perhimpunan yang hambar ekoran kekalahan mengejut UMNO setelah 61 tahun memegang tampuk pemerintahan negara.
“Sebenarnya, sebelum perhimpunan itu, kita memang merasa ragu-ragu. Bukan setakat di kalangan pemimpin tertinggi, tetapi juga pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi juga agak skeptikal dengan perhimpunan kali ini.
“Apatah lagi, pelbagai gambaran yang cuba diberikan seolah-olah untuk mempersenda dan memperlekehkan perhimpunan Agung UMNO kali ini, seolah-olah perhimpunan agung kali ini akan menjadi sebuah perhimpunan yang gagal mendapat sambutan lagi di kalangan ahli-ahli.
“Tetapi, di luar jangkaan kita, apabila perhimpunan itu dijalankan pada hari Jumaat tetap dihadiri oleh ribuan perwakilan serta ahli-ahli dan ia berterusan pada hari kedua dan hari terakhir perhimpunan, di mana dewan Merdeka tetap dipenuhi oleh para perwakilan hingga di saat akhir perhimpunan,” ujarnya.
Beliau mendedahkan perkara tersebut ketika menjadi ahli panel dalam program diskusi U3.0 yang membawa tajuk Cabaran Melayu yang bersiaran langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online.
Tambahnya lagi, kehadiran ahli yang bukan perwakilan, serta orang-orang Melayu yang hadir ke PWTC untuk mengikuti perbahasan-perbahasan oleh perwakilan juga amat memberansangkan memenuhi ruang legar PWTC pada hari tersebut.
“Ya, kalau perwakilan itu kita fahamlah, mereka hadir kerana tanggungjawab mereka sebagai perwakilan mewakili bahagian-bahagian mereka. Namun, kehadiran ahli-ahli biasa, serta orang-orang Melayu yang menyokong perjuangan parti ini adalah membanggakan apabila di luar dewan sana dipenuhi oleh mereka yang hadir sebagai pemerhati.
“Saya difahamkan kali ini tidak lagi menyewakan bas untuk hadir sepertimana sebelum ini dan ini bermakna mereka yang hadir itu menggunakan kenderaan sendiri untuk hadir dengan semangat dan keyakinan yang tidak pernah luntur kepada perjuangan parti ini,” tegasnya
Malah, apa yang lebih membanggakan kata Ismail, perwakilan yang hadir serta pembahas-pembahas yang berucap di dalam perhimpunan telah memperlihatkan satu semangat juang yang tidak luntur walaupun UMNO kini tidak lagi menjadi tonggak kepada kerajaan.
“Kita boleh lihat ucapan-ucapan perbahasan di peringkat sayap mahupun di peringkat perhimpunan agung, semua bercakap dengan lebih bersemangat dan saya kira ucapan-ucapan perbahasan pada perhimpunan agung kali ini adalah lebih baik daripada yang sebelumnya.
“Jika kita lihat perbahasan-perbahasan oleh perwakilan lebih menjurus kepada kebangkitan semangat perjuangan ahli di mana perbahasan kali ini adalah lebih serius yang berkisar tentang survival politik bangsa Melayu berbanding dengan perhimpunan agung sebelum ini,” ujarnya.-MediaUMNO