Orang Melayu Sudah Mula Hilang Keyakinan Terhadap Kerajaan Baru – Ismail Sabri
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkeyakinan bahawa orang Melayu akan kembali menyokong UMNO memandangkan di bawah pentadbiran kerajaan baru hari ini, tidak ada sebarang dasar baru yang dilihat dapat membantu rakyat.
Bahkan menurutnya wujud pula polisi-polisi yang seolah-olah cuba untuk menekan orang Melayu yang menyebabkan pengundi Melayu khususnya, mula hilang keyakinan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.
Berdasarkan situasi politik dan gaya pentadbiran kerajaan baru hari ini, beliau mengharapkan agar pengundi-pengundi khususnya orang-orang Melayu, terutama golongan muda perlu menilai dan berfikir, apakah polisi dan dasar kerajaan baru hari ini tidak mengganggu gugat hak-hak keistimewaan Melayu atau pun sebaliknya.
“Saya berharap kepada golongan muda Melayu yang merasakan tidak perlunya ada lagi artikel 153 dalam perlembagaan negara, berfikir betul-betul secara matang dan rasional dengan apa yang berlaku di dalam situasi politik negara hari ini.
“Perkara 153 itu adalah hak kita. Itu adalah perkara asas yang telah dipersetujui oleh pemimpin semua kaum di negara ini ketika Malaysia mahu merdeka, dengan syarat kita tidak menekan kaum lain. Dan ini telah dibuktikan selama UMNO menjadi tonggak pemerintahan negara selama ini.
“Jika kaum lain yang mendakwa bahawa mereka itu adalah ‘2nd class citizen’, takkanlah ekonomi negara dikuasai oleh golongan mereka. Mana ada dalam dunia, 2nd class citizen’ menguasai ekonomi dan sebagainya. Sekarang ini, mereka sudah mahu menguasai politik pula.
“Saya bukan mahu menakut-nakutkan, tetapi saya harap generasi muda Melayu mesti sedar bahawa hak kita ini adalah hak kita dan kita tidak boleh berkrompomi dengan sesiapa dalam hal ini. Kita menggunakan hak kita dan tidak merampas hak orang lain. Kita tidak boleh dianggap rasis kerana kita hanya mempertahankan hak kita dan mempergunakan hak kita itu tanpa menzalimi kaum-kaum lain,” tegasnya.
Beliau berkata demikian sebagai tetamu undangan dalam program diskusi U3.0 yang disiarkan secara langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online pada Khamis malam bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Kamal Amir yang bertindak sebagai moderator rancangan.
Walaupun beliau berkeyakinan bahawa orang Melayu akan kembali menyokong UMNO berdasarkan kegagalan kerajaan hari ini mentadbir negara dengan baik, disulam pula dengan polisi-polisi yang dilihat boleh mengancam hak-hak orang Melayu dan Islam, tetapi UMNO juga perlulah memperlihatkan kemampuan sebagai pembela suara rakyat, khususnya orang Melayu di negara ini.
“Kita mesti mengubah persepsi buruk rakyat, khususnya orang Melayu kepada parti ini terlebih dulu. Untuk merealisasikan perkara ini, usaha perlu dilakukan oleh ahli-ahli UMNO daripada peringkat atasan sehinggalah ke peringkat akar umbi.
“Di dalam Perhimpunan Agung 2018 yang baru selesai Ahad lepas, Presiden kita telah memberikan garis panduan untuk melaksanakan gerak kerja dengan 7 teras dan 21 tindakan yang perlu kita lakukan.
“Jadi sekarang ini, selepas perhimpunan tamat maka menjadi tugas kitalah kepimpian di peringkat akar umbi untuk melaksanakan 21 langkah yang telah digariskan sebagai panduan oleh Presiden kita sebagai usaha untuk mengukuhkan kembali sokongan orang Melayu kepada parti ini.
“Kita mesti ingat, tanggungjawab untuk memperkukuhkan parti bukan hanya terletak di tangan Presiden sahaja, tetapi juga terletak di kepimpinan peringkat bahagian termasuklah cawangan-cawangan di peringkat akar umbi,” ujarnya.-MediaUMNO