Dana Politik, Kerajaan Perlu Dapatkan Pandangan Dari Semua Parti
KUALA LUMPUR, 5 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berpendirian bahawa sumber kewangan sangat penting bagi sesebuah parti politik dan ianya tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.
Menurutnya, dana bukan sahaja perlu sewaktu musim pilihan raya malah keperluannya sepanjang masa yang tidak terhad dalam soal pentadbiran, tetapi meliputi kerja-kerja kebajikan yakni membantu rakyat dan sebagainya.
“Sebelum ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) juga pernah mencadangkan RUU (Rang Undang-undang) mengenai pembiayaan politik namun ianya tidak berjaya dilakukan kerana tidak diterima pembangkang ketika itu.
“Cadangan RUU itu bagi membolehkan kita membuat sebarang rujukan mengenai seliaan dana politik,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini, sambil dengan tegas mengatakan UMNO menolak amalan rasuah dalam politik dan ianya menjadi prinsip parti sejak sekian lama.
Jelas ahli Parlimen Lenggong itu lagi, beliau tidak dapat memberikan sebarang komen lebih mendalam mengenai cadangan perdana menteri berhubung pembiayaan parti-parti politik dalam negara ini kerana ketika ini kerajaan masih lagi mengkaji mekanisme terbaik dalam perkara ini.
“Namun oleh kerana semua perkara ini akan memberikan kesan kepada semua parti politik dalam negara ini, saya fikir kerajaan mesti mendapat pandangan dan persetujuan daripada semua parti politik di Malaysia.
“Selain itu, saya juga harap pihak kerajaan mengkaji semula beberapa beberapa peraturan pilihan raya umpamanya jumlah kewangan yang boleh digunakan oleh calon peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kerana dalam keadaan sekarang ianya sudah tidak lagi sesuai,” katanya. – Media UMNO.