UMNO Akan Bertindak Hentikan Segera Pencabulan Prinsip ‘Rule of Law’

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dalam ucapan dasarnya menegaskan UMNO akan memastikan tindakan yang melanggar Rule of Law mesti dihentikan.

Justeru beliau berlata setiap wakil rakyat UMNO sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri hendaklah berperanan lebih berkesan untuk menyekat gejala ini.

“Hari ini, campur tangan eksekutif begitu mencengkam badan kehakiman. Penghakisan dan pencabulan ke atas prinsip ‘Rule of Law’ sedang berlaku sekarang.

“Apa yang berlaku sekarang adalah Contesting Authority atau Mencabar Autoriti. Banyak tindakan mereka mengenepikan Perlembagaan dan keluhuran undang-undang”, katanya.

Pelanggaran dan pencabulan kepada prinsip Rule of Law ini tegas beliau lagi menjadi malapetaka besar ke atas prinsip pemisahan kuasa (separation of power) yang diamalkan oleh mana-mana negara demokrasi.

“Hari ini, negara semakin berundur. Wujudnya pendakwaan terpilih dan dilakukan berasaskan kepada fahaman politik. Ada kes yang masih dalam perbicaraan, tiba-tiba digugurkan begitu sahaja. Bak kata pepatah, ‘Tiba di perut dikempiskan. Tiba di mata dipicingkan. Tiba di dada dibusungkan.’ Malahan tidak dapat tanduk, telinga dipulas.

“Mereka yang bertanggungjawab menegakkan The Rule of Law, telah mengotori dan mengoyakkan jubah integriti mereka sendiri. Kita mendesak kerajaan hari ini menghentikan segera pencabulan prinsip Rule of Law!

“Berhentilah dari melakukan gertakan murahan, apalagi mengaibkan Orang Kena Tuduh (OKT) melalui perbicaraan media massa dan media sosial!”, ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.