Langkah Kaderisasi Parti Perlu Dirancakkan Semula – Wakil UMNO Negeri Sembilan


KUALA LUMPUR, 30 Sept – Wakil UMNO Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata langkah kaderisasi perlu dirancakkan semula dalam usaha memastikan parti hari ini terus berdaya maju dan terus bergerak ke depan terutama mendepani cabaran pasca Pilihan Raya Umum (PRU-14) baru-baru ini.

Menurut beliau seharusnya satu formula perlu dicari dan diketengahkan oleh parti supaya kaderisasi terus rancak di dalam parti dan mestilah program tersebut sesuai dan mampu dilaksanakan oleh keseluruhan 191 UMNO bahagian.

“Mereka adalah masa depan masa parti ini. Satu modul perkaderan perlu dirangka oleh jawatankuasa perkaderan UMNO Malaysia. Modul ini harus memberi tumpuan kepada pengukuhan jati diri, daya tahan dan semangat juang.

“Teknik dan program semula minda boleh digunakan bagi menghasilkan kader yang patriotik, praktikal, pragmatik dan ada rasa ‘sense belonging’ pada organisasi ini. Maka akan lahirlah perintis yang akan memenuhi aspirasi UMNO masa kini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2018, di Dewan Merdeka, PWTC.

Beliau seterusnya mengingatkan agar seluruh ahli parti jangan lagi berbalah kerana tiada sebabnya untuk semua pihak menjurus ke arah itu.

“Barisan kepimpinan terpilih sudah ada… jadi pakat elok-elok atur langkah, kalau masih nak bertelagah parti ini yang akhirnya musnah dan rakyat yang sokong kita pasti akan kecewa. Inilah yang perlu kita sama-sama tekankan,” katanya.

Tambahnya pada dan saat ini, parti benar-benar diuji dan untuk itu pelbagai peringkat perlu meningkatkan daya juang tersendiri.

“Oleh yang demikian UMNO Negeri Sembilan menyeru kepada saf kepimpinan dari yang tertinggi sampailah ke cawangan… tingkatkan daya juang, sabar dan terus bertahan hikmahnya Allah swt akan berikan. Insya-Allah,” katanya lagi. – MediaUMNO

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.