Kerajaan Yang Bertanggungjawab, Kerajaan Yang Jaga Kebajikan Rakyat – Syed Ibrahim


KUALA LUMPUR, 30 Sept – Usaha kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) yang menyediakan segala macam bentuk bantuan kebajikan dan segala macam bentuk perkhidmatan untuk keselesaan rakyat adalah selaras dengan kehendak agama.

Ini adalah kerana ia merupakan satu tanggungjawab kepimpinan untuk menjaga anak bangsa dan agama maka sudah tentu kepimpinan harus bertanggungjawab dan memberikan yang terbaik kepada rakyat, ujar wakil dari negeri Pahang Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika menyokong Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2018, di sini hari ini.

“Ini jelas berdasarkan tegasan Rasulullah SAW dalam hadis mafhumnya; ‘Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan diminta pertanggungjawabkan terhadap apa yang dipimpin.

“Namun, apa yang kita tengok dan apa yang kita perhatikan, kita perlu bermuhasabah walaupun kita telah lakukan dan laksanakan yang terbaik masih ada lagi kelompongan-kelompongan yang memerlukan kita mengambil kira dengan tindakan yang seandainya kita lakukan yang terbaik setelah kita bermuhasabah, Insya-Allah kita akan diberikan ganjaran pulangan terbaik kerana ini janji dari Allah SWT,” jelasnya.

Syed Ibrahim seterusnya memohon agar semua pihak menginsafi atas apa yang telah parti hadapi.

“Kita seronok apabila mendengar timbalan presiden di dalam merasmikan perhimpunan sayap, dan kita seronok juga mendengar ucapan dasar Presiden yang begitu tegas bagaimana hendak memacu pembaharuan terhadap parti kita UMNO bagi menghadapi kejayaan di masa akan datang dengan penuh keyakinan.

“Tetapi keyakinan ini mestilah berteraskan sebagaimana saranan Allah SWT dalam firman-Nya yakni berbuat baiklah dengan sebaik-baiknya, kerana apa? Kerana hasil terbaik itu akan dipulangkan oleh Allah SWT kepada kita juga.

“Tetapi jika kita tersalah acuan, natijahnya akan kita pikul (kekalahan) sebagaimana yang telah kita alami,” kata Exco Kerajaan Negeri Pahang itu lagi.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh perwakilan serta ahli agar percaya setiap ujian, dugaan yang dihadapi sebagai tanda kasih Allah SWT kepada semua.

“Percayalah, sesungguhnya kita masih dalam Insya-Allah, sesungguhnya kita masih dalam riayah Allah kerana Rasulullah SAW menyatakan (mafhumnya) ‘Seandainya Allah mengasihi sesuatu hambanya itu, mereka akan diuji dengan dugaan dan bala.

“Ujian dari Allah SWT kepada kita sekarang ini adalah satu ujian yang Allah SWT mahu membangkitkan kita. Dulu datuk nenek kita berjuang dengan tangan yang kosong tiada kekuatan, tiada keupayaan terpaksa mengutip derma terpaksa beri segala-gala untuk memastikan anak cucu terbela berbeza dengan sekarang kita ada wadah, kita ada parti dan mustahil kita tidak boleh bangkit,” tegasnya. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.