Kegagalan PRU Lalu Bukan Destinasi Terakhir Untuk Parti – Wakil Wanita UMNO
KUALA LUMPUR, 30 Sept – Wakil Wanita UMNO, Latteffah Aliyaru Kunju berkata kegagalan parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu bukanlah satu destinasi terakhir dalam perjuangan sebaliknya perjalanan masih jauh dan perjuangan belum pun selesai.
Menurut beliau sudah tiba masanya untuk seluruh ahli parti memandang ke depan dan tidak lagi menoleh ke belakang walaupun hari ini UMNO telah bertukar menjadi pembangkang.
“Kita buang rasa sedih dan murung ini jauh-jauh. Kita wajib bermuhasabah diri dan berhentilah dari terus menuding jari kepada pemimpin mahu pun ahli sesama sendiri.
“Nasi telah menjadi bubur namun bagi kita bubur bukan sebarang bubur kerana ianya masih mampu mengenyangkan perut yang lapar. Walaupun kita telah bekerja keras sebelum ini, namun apakan daya, kita berusaha dan merancang Allah juga yang menentukan.
“Tugas-tugas Jalinan Rakyat (JR) telah dilakukan dengan sebaik mungkin namun kami akui ianya ada kelemahan-kelemahan tertentu yang perlu diperbaiki. Saya yakin dan percaya kita sama-sama mampu memperbaiki kelemahan berkenaan,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan usul ucapan dasar Presiden UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Latteffah seterusnya menambah apa yang perlu difikirkan bersama hari ini adalah isu-isu yang menjadi perhatian rakyat selain berusaha untuk mencari kaedah bagaimana untuk menolak segala dakyah yang dilontarkan kepada parti.
“Inilah yang perlu dilihat oleh semua kepimpinan parti bagaimana kaedah dan pendekatan untuk kita menepis dakyah kerajaan baru dan menyedarkan rakyat terhadap segala kepincangan yang dilakukan.
“Selain itu, kita juga perlu melihat bagaimana orang muda tidak mahu dimomokkan dengan cerita-cerita perkauman sebaliknya mereka mahu melihat kerajaan yang telus, bersih dan apakah khidmat bakti yang mampu kerajaan berikan kepada rakyat,” ujarnya lagi. – MediaUMNO