Kami Masih Setia, UMNO Selamanya – Perwakilan

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Berbeza dengan perspektif yang digembar-gemburkan tentang UMNO yang sudah berada di garisan penamatnya, terbuktilah ramai yang masih setia dalam memperjuangkan nasib Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Ketua Pergerakan Puteri Bahagian Papar, Ummi Nabilah Jamal, berkata bagi menguatkan semula parti keramat ini, perubahan baru dari segi pentadbiran terutamanya struktur dalaman perlu diperkuat untuk mendapatkan kepercayaan rakyat semula.

“Saya percaya UMNO dapat bangkit semula walaupun dalam keadaan kritikal kerana kekuatan UMNO terletak pada nadi penyokong yang masih setia dan parti ini tidak seteruk yang disangka,”

Dalam pada itu, tujuh teras dan 21 langkah yang yang digariskan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mendapat sokongan secara menyeluruh oleh para perwakilan bagi membentuk sebuah parti yang lebih baik.

Perwakilan Bahagian Semporna, Muhammad Suffian Hindi @ Abd Ghani, berkata ucapan dasar ini adalah untuk memaklumkan mesej utama kepada semua perwakilan dan pemerhati berkenanan penstrukturan dan strategi bagi membina UMNO semula.

“Kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) yang lepas merupakan satu hikmah dan kita boleh bangkit semula daripada fitnah yang telah memperdayakan rakyat.

“UMNO juga parti yang matang dan berpengalaman dalam memerintah kerajaan dan semestinya masih terus memperjuangkan dasar sebenar,” tambahnya.

“Perhimpunan Agung UMNO (PAU) kali ini bukan sekadar meriah tetapi menunjukkan bahawa masih ada yang setia dan berkobar-kobar dalam sebuah pengorbanan,” katanya lagi.
PAU yang telah berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat yang lalu dilihat masih relevan dalam arena politik dengan kehadiran pengunjung yang hadir.

Perwakilan Bahagian Kuala Kedah, Nazar Ahmad Md Noor, berkata UMNO akan terus rapat dengan masyarakat dalam susah senang dan sentiasa mendukung parti ini kerana keikhlasan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.