Institut Pemikiran, Pengumpulan Data Ahli Profesional Dicadang Untuk Perkukuh Parti


KUALA LUMPUR, 30 Sept – Perwakilan UMNO Johor, Datuk Zahari Sarip mencadangkan penubuhan Institut Pemikiran Kebangsaan bagi mengumpulkan anak-anak Melayu yang berkebolehan untuk menyumbang idea dalam memperkukuhkan kuasa politik dan ekonomi bangsa Melayu di negara ini.

Menurut beliau, dengan wujudnya Institusi Pemikiran dan Kebangsaan ini, anak-anak Melayu yang mempunyai kebolehan dalam pelbagai bidang dan kluster dapat dihimpunkan untuk menggemblengkan tenaga dan pemikiran demi kebaikan bangsa Melayu.

“Melalui Institut Pemikiran Kebangsaan ini, kita boleh mengumpulkan profesional Melayu untuk menyumbangkan idea bagaimana untuk mengukuhkan kuasa politik pada PRU ke-14 yang akan datang. Melalui institut ini juga, kita boleh melatih wakil-wakil rakyat pembangkang untuk berhadap dengan kerajaan.

“Ia juga boleh berperanan sebagai pusat untuk melahirkan pemimpin-pemimpin pelapis yang berkarisma, berintergriti, mempunyai jati diri yang kuat dan boleh melahirkan golongan pendesak yang terdiri daripada anak-anak muda Melayu,” ujarnya.

Manakala Perwakilan UMNO Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor pula berpandangan, kerjasama antara UMNO dan Pas perlu diperkukuhkan kerana ia merupakan satu tuntutan agama yang mendatangkan kebaikan kepada umat Melayu secara keseluruhannya.

“Kerjasama di antara UMNO dan Pas perlu diperkukuhkan. Soal pembahagian kerusi atau yang lain-lain ketepikan dulu, tetapi persefahaman antara UMNO dan Pas mestilah diperkukuhkan terlebih dulu. UMNO Kelantan sememangnya menyokong kerjasama yang berlaku antara UMNO dan Pas dalam senario politik negara hari ini.

“Selain itu, UMNO Kelantan juga menyeru agar ahli dan kepimpinan UMNO agar tidak gentar untuk terus mempertahankan hak-hak dan kepentingan Islam serta bangsa Melayu. Jangan kita takut dengan label-label seperti rasis atau terrorist kerana label sedemikian diberikan oleh pihak yang mahu melihat kepentingan Islam dan Melayu diperkotak katikkan,” tegasnya.

Manakala wakil bagi Mahasiswa Nasional pula, Ahmad Shafiq Ahmad Jaswan menyentuh tentang isu pemimpin yang melompat di mana menurut beliau, biarkanlah saja jika ada mana-mana pemimpin UMNO yang mahu keluar dari parti ini.

“Apa yang penting sekarang ialah kita menjaga ahli-ahli yang ada serta menjadi suara kepada orang Melayu yang selama ini tetap berdiri teguh membawa obor perjuangan parti. Perkukuhkan perpaduan dalam parti dan kembalikan semula keyakinan rakyat, khususnya orang Melayu kepada UMNO untuk terus menjadi parti terbesar yang membawa suara orang Melayu di negara ini.

Pembahas daripada Perwakilan UMNO Terengganu, Raja Arif bin Raja Ali pula menyentuh tentang kealpaan UMNO dalam mendekati anak-anak muda khususnya melalui pelbagai cara termasuklah melalui media sosial yang menjadi platfom mencari  informasi bagi anak-anak muda hari ini.

“Kita perlu fokus kepada anak-anak muda ini. Kita perlu masuk ke dalam gelanggang mereka, generasi yang lahir di zaman internet ini. Kita mesti tahu bagaimana untuk mendekati, menyelami dan memahami kehendak anak-anak muda ini, khususnya melalui media sosial yang menjadi tempat mereka bertukar pandangan dan informasi,” ujarnya.

Selain itu, dalam usaha untuk memperkasakan parti, beliau mencadangkan agar UMNO mengumpulkan data-data ahli yang profesional yang mampu memberikan sumbangan dalam usaha untuk memperkukuhkan parti.

“Jika kita mahu memperkasakan parti, kita mesti ada modulnya. Kalau kita mahu lahirkan pejuang, juga perlu ada modulnya. Jadi di dalam UMNO sendiri, tidak kurang adanya mereka yang pakar dalam bidang-bidang tertentu, yang boleh membantu usaha pemerkasaan parti ini.

“Jadi saya cadangkan agar UMNO mengumpul data-data ahli yang berkebolehan serta pakar dalam bidang-bidang tertentu agar mereka ini dapat kita hubungi dan kenal pasti untuk membantu memperkasakan parti terbesar orang Melayu ini,” tegasnya.-MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.