Hala Tuju UMNO Untuk Menang Dan Kembali Berkuasa

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 malam ini berkata hala tuju UMNO sekarang adalah untuk menang dan kembali berkuasa.

“Sebenarnya, saya menyebut mengenai hala tuju UMNO dalam pertemuan dengan ahli-ahli dan pemimpin parti di seluruh negara.

“Hala tuju UMNO sekarang adalah untuk menang dan kembali berkuasa. Inilah hala tuju kita.

“Jika kita boleh membentuk kerajaan, segala yang ingin kita lakukan untuk kebaikan negara mampu dilaksanakan. Insya-Allah”, katamya.

Selain menjelaskan hala tuju UMNO, beliau turut menggariskan 7 teras yang merangkumi 21 langkah untuk membolehkan UMNO mencapai kejayaan tersebut.

“Ada pihak yang mempersoalkan kenapa saya banyak berdiam dan perlahan dalam menentukan hala tuju UMNO. Maaf! Sebenarnya, saya perlu memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengurusan dalaman parti, terutamanya bagi mengekang usaha-usaha melemahkan UMNO.

“Diam itu emas, bertindak itu berlian! Begitu juga yang diungkapkan oleh seorang ahli falsafah China bernama Lao-Tzu. Silence is a source of great strength“, ujarnya.

Beliau seterusnya menjelaskan umum sudah tahu bahawa harta UMNO mahu disita, akaun UMNO telah dibekukan.

“Terdapat dalam kalangan kita yang ditekan dengan pelbagai siasatan, terdapat juga yang diheret ke mahkamah. Malah terdapat usaha untuk mengharamkan UMNO!

“Kita sedang bergelut dalam suasana akaun parti yang dibekukan. Hingga hari ini ia masih belum lagi mendapat pelepasan. Saya menyeru kepada pihak berwenang, janganlah berlaku zalim dan tunduk serta takut kepada arahan Sang Penguasa. Ikutlah peraturan yang sedia ada, jangan menindas dan melakukan gertakan murahan! Rakyat melihat dan menilai setiap tindakan-tindakan itu”, tegasnya.

Justeru beliau berkata semestinyalah hala tuju ini perlu disokong oleh semua orang UMNO berpandukan kepada tujuh teras yang perlu dilaksanakan bersama. -MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.