Bina Semula Parti Yang Dilanda ‘Tsunami’ 9 Mei – Mohamad


KUALA LUMPUR, 30 Sept –  Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yakin dan percaya tanggungjawab yang akan dipikul bersama mampu menterjemahkan yang terbaik untuk parti bangkit dan seterusnya mendapat kepercayaan rakyat keseluruhannya.

Berucap  pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang melabuhkan tirainya petang tadi, beliau menegaskan tanggungjawab tersebut tidak hanya terpikul di bahu kepimpinan Presiden parti atau pimpinan tertinggi yang lain.

“Sebaliknya menjadi tanggungajawab bersama kita sebagai ahli parti dalam  menjayakan apa yang telah digariskan oleh Presiden Parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berasaskan tujuh teras dan 21 langkah.

“Pada pada masa yang sama kita kena lihat bagaimana untuk ambil balik hati orang..macam mana nak pujuk balik orang… maka ubahlah apa yang patut kita ubah dan buatlah apa yang patut kita buat supaya kesilapan-kesilapan yang lalu tidak lagi kita ulangi,” katanya di sini, hari ini.

Mohamad seterusnya mengajak ahli parti untuk sama-sama membina parti yang dilanda ‘tsunami’ pada 9 Mei yang lalu.

“Mari kita susun balik batu-bata yang runtuh oleh tsunami yang melanggar kita pada 9 Mei lalu…kita jadikan benteng yang lebih kukuh dan dinding yang lebih kuat untuk pastikan UMNO bangkit dan bangun selepas ini.

“Kita balik dengan tekad yang baik untuk kita bangunkan parti ini. Semua ahli dan cawangan serta bahagian  dan pimpinan pelbagai peringkat mesti mempunyai hasrat untuk bangun semula.

“Dengan adanya ‘reform’ parti kita ini dan strategi nak menang pilihan raya maka saya yakin dan percaya hasrat untuk kita bangun semula akan dapat kita jayakan,” ujarnya.

Jelasnya lagi  UMNO menerusi BN telah mentadbir negara sejak sekian lama namun kerana sedikit kesilapan parti mengalami kekalahan.

“Jangan kita bermimpi lagi ada orang bawa tepak sirih untuk jemput marilah bersama dengan kita…kalau mereka bawa tepak sirih kita tengok tepak sirih yang macam mana.

“Kalau setakat mereka bawa tepak sirih untuk kita jadi penumpang sahaja…kita tidak mahu jadi ‘second fiddle’,” tambahnya.

Dalam ucapannya itu juga, beliau turut mengingatkan ahli parti agar terus menabur bakti dan jasa serta tidak melayani tindakan sesetengah  pihak yang memperkecilkan parti.

“Tidak guna untuk berdebat dalam sesuatu isu dengan orang yang sedang bermegah dan memegang kuasa ketika ini. Esok bila orang dah mula muak, orang dah marah, kita pula bersikap sebaliknya,” katanya. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.