UMNO: Kembali Ke Khittah Perjuangan – Ucapan Dasar Ketua Wanita
KUALA LUMPUR, 29 Sept – Berikut merupakan teks Ucapan Dasar Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Dr Noraini Ahmad sempena Perhimpunan Agung Wanita UMNO Malaysia.
UMNO: KEMBALI KE KHITTAH PERJUANGAN
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh
Segala puji-pujian kehadrat Allah S.W.T.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W., keluarga serta para sahabat Baginda.
SALUTASI
1. Yang Berbahagia Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Hajah Saripah Aminah Syed Mohd,
2. Yang Berhormat Naib Presiden UMNO Malaysia,
Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob,
3. Yang Berbahagia Timbalan Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Dr. Azizah Johor,
4. Yang Berbahagia Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,
Datuk Norliza Abdul Rahim,
5. Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia,
Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir,
Yang Berhormat Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican,
Yang Berhormat Datuk Md Alwi Che Ahmad,
6. Barisan Pegawai-Pegawai, Exco-Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia,
7. Para perwakilan yang saya kasihi sekalian,
8. Dif-dif jemputan, tetamu-tetamu khas, ibu-ibu pejuang agama dan bangsa, para pemerhati sama ada di dalam ataupun di luar dewan yang mulia ini,
9. Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah binti Mohd Salleh bersama-sama delegasinya. Terima kasih di atas kesudian meluangkan masa untuk bersama-sama kami di pagi ini.
10. Tuan-tuan dan puan-puan, wakil-wakil media, serta semua yang saya hormati sekalian.
IFTITAH KATA
Alhamdulillah dengan izin-NYA dapat kita berkumpul pada pagi yang mulia ini, untuk menunaikan tugas dan tanggung jawab demi kelangsungan perjuangan UMNO – parti keramat yang kita sayangi ini.
11. Saya mengucapkan selamat datang dan mengalu-alukan kehadiran 994 orang perwakilan Wanita UMNO Malaysia dari 191 bahagian, merangkumi 20,730 cawangan di seluruh negara.
Sidang perwakilan sekalian,
12. Sebelum saya meneruskan ucapan, marilah kita mengambil berkat dengan menghadiahkan Al-Fatihah kepada para pemimpin Wanita UMNO dari seluruh negara yang telah kembali ke rahmatullah.
13. Kita iringi doa semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah SWT. Al-Fatihah.
14. Bagi seluruh ahli Wanita UMNO, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan kerana dipilih sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti.
15. Saya juga mengucapkan tahniah atas pemilihan Yang Berbahagia. Dato’ Saripah Aminah Syed Mohd dan Yang Berbahagia Datuk Dr. Azizah Johor sebagai Pengerusi Tetap dan Timbalan Pengerusi Tetap.
16. Tahniah juga kepada Yang Berbahagia Datuk Norliza Abdul Rahim kerana dipilih sebagai Naib Ketua Wanita UMNO yang baru.
17. Pada kesempatan ini, saya bagi pihak Wanita UMNO Malaysia ingin mengalungkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Presiden UMNO, Yang Berhormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang telah memimpin parti sejak tahun 2009. UMNO terhutang budi kepada beliau yang telah menerajui parti pada zaman dan era yang sangat mencabar.
18. Sesungguhnya, saya dan Pergerakan Wanita UMNO Malaysia mendoakan semoga Dato’ Sri dikurniakan kesihatan dan kesejahteraan. Semoga Dato’ Sri tabah untuk menghadapi setiap ujian. Budi dan bakti Dato’ Sri, akan terus abadi dalam ingatan kami. Seperti dipantunkan orang:
Sungguh melati senang dipetik,
Harumnya masyhur seluruh alam;
Budimu tuan bukan sedikit,
Langit dan bumi ada di dalam.
19. Bagi pihak Pergerakan Wanita UMNO Malaysia juga, saya ingin mengalungkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ibu Terbaik Bangsa, Yang Berbahagia Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, mantan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang telah memimpin Wanita UMNO hampir satu dasawarsa. Di tangan beliau, Pergerakan Wanita UMNO telah dibawa ke satu tahap yang baharu.
20. Yang Berbahagia Tan Sri;
Burung kedidi si burung helang,
Hinggap mari di pohon jati;
Budi Tan Sri tidak kan hilang,
Sudah meresap ke dalam hati.
21. Kepada seluruh kepimpinan Wanita UMNO yang terdahulu;
Jikalau tidak kerana bulan,
Tidak bintang terbit pagi;
Jikalau tidak kerana kalian,
Tidak kami berada di sini.
22. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang telah mengamanahkan saya untuk menerajui kepimpinan Wanita bagi penggal 2018/2021. Saya insaf bahawa jawatan ini bukan tasyrif (kebesaran) tetapi ianya adalah taklif (tanggungjawab).
23. Atas rasa rendah hati, saya memohon kemaafan kepada seluruh bangsa Melayu dan Bumiputera kerana Pergerakan Wanita UMNO tidak dapat melunaskan hasrat, harapan dan impian rakyat terbanyak sehingga kita gagal mempertahankan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14.
24. Saya yakin, seluruh barisan kepimpinan Pergerakan Wanita UMNO akan memastikan tanggungjawab yang tergalas dilaksanakan dengan amanah.
25. Saya juga percaya, perwakilan sekalian akan memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bagi dan semangat juang yang tinggi bagi membantu Presiden serta barisan kepimpinan UMNO untuk memulihkan, memperkasa dan membawa parti ke tahap yang lebih tinggi.
26. Usah pertikai kesetiaan Wanita UMNO kepada parti. Janganlah oleh sebab tindakan seorang dua yang goyah dan gelabah, ditafsir sebagai petanda bahawa kita turut goyah dan gelabah. Wanita kekal setia di sisi kepimpinan parti demi masa depan agama, bangsa dan negara. Percayalah!
PERHIMPUNAN TEKAD
Sidang perwakilan yang budiman,
27. Perhimpunan kali ini berbeza daripada perhimpunan-perhimpunan sebelum ini. Saya mahu mengajak perwakilan memikirkan bersama apakah makna atau signifikan perhimpunan kali ini.
28. Jadikanlah perhimpunan ini sebagai wadah untuk kita bersama-sama istiqamah, memperbaiki kelemahan, mempertingkatkan diri dan bangkit membina semula kekuatan parti.
29. Perhimpunan ini bukan business as usual. Ia adalah perhimpunan yang kritikal, perhimpunan yang bukan sahaja akan menjadi penentu kepada kelangsungan perjuangan parti, malah hidup dan mati perjuangan UMNO itu sendiri.
30. Justeru, mari kita jadikan Perhimpunan Agung UMNO kali ini sebagai “Perhimpunan Tekad” yang akan menjadi penanda aras baharu untuk parti.
31. Ia akan menentukan samada kita akan bangkit semula atau hanya tinggal dalam lipatan sejarah, diperkecilkan, dilupakan dan hanya sekadar menjadi nota kaki atau footnote sejarah. Marilah kita membawa UMNO kembali semula ke khittah perjuangannya.
32. Kita mempunyai sebab untuk berasa sedih, kecewa, hampa dan sayu dengan apa yang berlaku. Namun, dalam demokrasi, people’s power atau kuasa rakyat amat penting.
33. Rakyat telah memilih dan kita harus terima dengan redha dan hati terbuka. Kita tidak boleh menyalahkan rakyat kerana tidak memberi mandat, walaupun track record kita cemerlang sepanjang menerajui tampuk pemerintahan negara.
Sidang perwakilan sekalian,
34. Selama lebih enam dasawarsa menjadi tunjang pemerintahan, kita telah berjaya mengubah negara ini dalam pelbagai bidang dan disiplin. Kita mampu menukar skyline kota-kota. Kita memberikan kemakmuran dan kesejahteraan kepada negara serta seluruh isinya.
35. Sebagai parti yang ditubuhkan untuk membela bangsa dan agama, kita telah melakukan yang terbaik. Melalui dasar-dasar kita, UMNO telah melahirkan generasi cerdik pandai, profesional dan usahawan Melayu dan Bumiputera yang berjaya.
36. Kita telah berjaya menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan, hingga memungkinkan anak-anak Melayu/Bumiputera memimpin syarikat konglomerat dan syarikat raksasa.
37. Sebenci mana sesetengah pihak kepada kita, sumbangan kita dalam membangunkan negara tidak dapat mereka dinafikan. Malaysia tidak mungkin menjadi negara semaju dan sebegini gah tanpa sentuhan emas kita.
38. Namun demikian, bak kata peribahasa Melayu “panas setahun, punah dek hujan sehari.” Akhirnya, rakyat menolak kita.
39. Kita boleh menyalahkan fitnah, persepsi buruk, peranan media sosial, kebencian sesetengah pihak atau menjurus kepada pelbagai teori konspirasi tentang kekalahan kita. Tetapi itu semua hanya teori semata-mata.
40. Perhimpunan kali ini, bukan gelanggang untuk kita mencurah geram, amarah atau menuding jari mencari salah. Ia sepatutnya menjadi wahana untuk kita bermuhasabah, membuat introspeksi dan menilai diri.
41. Kita cari titik persamaan bukan garis perbezaan, kita cari kesatuan bukan perpecahan, kita cari kekuatan bukan kelemahan – untuk kita bergerak ke hadapan atau moving forward.
42. Saya ingin mengajak keluarga besar Wanita UMNO, untuk memulakan gerak kerja baru, memanfaatkan sejarah kekuatan dan komitmen dari peringkat akar umbi bagi memulakan langkah, meski getir dan sukar, tapi penuh yakin.
43. Sedarkah kita semua apa yang kita hadapi ketika ini? Parti kita telahpun Diasak! Digertak! Diaibkan!
Di belakang kita duri!
Di hadapan kita api!
Kita akan berjuang di perbukitan!
Kita akan berjuang di perlembahan!
Kita tidak akan menyerah kalah!
SEJARAH ADALAH GURU TERBAIK
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,
44. Sejarah adalah guru yang terbaik. Mungkin dengan mengambil sedikit masa melihat sejarah parti-parti yang besar di dunia akan memberikan pengajaran kepada kita.
45. Kita imbau sejarah parti-parti politik yang dilabelkan sebagai “Grand Old Party” seperti Parti Republikan di Amerika Syarikat atau Parti Kongres di India. Kedua-dua parti ini pernah jatuh dan bangun.
46. Lihat juga parti yang lebih kurang seangkatan dengan UMNO seperti Parti Kuomintang atau KMT di Taiwan dan Parti Liberal Demokratik atau LDP di Jepun. Kedua-dua parti ini pernah jatuh dan bangun dalam sejarah politik kepartian negara mereka.
47. Kita susur pula sejarah Parti Golongan Karya atau Golkar di Republik Indonesia yang digagas pada tahun 1964. Golkar adalah parti besar dan hebat yang digerakkan oleh prinsip Orde Baru.
48. Golkar memerintah Indonesia selama hampir tiga dekad. Tiada siapa yang pernah membayangkan Golkar akan tewas. Ironisnya, sejak ia digulingkan lebih 20 tahun yang lalu, hari ini Golkar hanya menjadi parti serpihan.
49. Ada pengajaran dari apa yang berlaku kepada Golkar. Parti itu tidak pernah kalah sebelum ini, seperti juga UMNO.
50. Saya berasa sayu malah takut untuk membuat perbandingan di antara Golkar dengan UMNO. Tetapi jauh di lubuk hati, saya juga tidak mahu UMNO mengalami nasib seperti Golkar.
51. Maafkan saya kerana terpaksa membuat perbandingan ini, tetapi inilah realitinya. Kita perlu akui, “katakanlah kebenaran, sekalipun ianya pahit.’’
52. Saya mahu kita berfikiran positif dengan melihat bagaimana Parti Liberal Demokratik (LDP) di Jepun berjaya mendepani kekalahannya dengan cekal dan penuh keinsafan, kemudian kembali memerintah.
53. LDP tumbang dalam pilihanraya tahun 2009 di tangan Parti Demokratik Jepun (DPJ). Mandat pemerintahan yang diberi kepada DPJ, bukanlah manifestasi kepercayaan rakyat Jepun terhadap parti itu. Sebaliknya, ia merupakan sebuah hukuman kepada LDP.
54. Namun, LDP memulihkan kelemahan mereka dengan cepat. Kepimpinan mereka dengan pantas mengatur strategi. Natijahnya, LDP kembali berkuasa di Jepun pada tahun 2012.
55. Tiga tahun sahaja yang diperlukan oleh mereka untuk bangkit semula. Persoalannya, berapa tahun pula yang UMNO perlukan?
56. Igauan PRU-14, sepatutnya sudah cukup menginsafkan. Kita boleh memilih untuk terus berdukacita, mencari salah atau tuduh menuduh sesama kita. Atau kita terus mengambil langkah proaktif mencari kaedah memperbaiki diri, memulihkan keyakinan rakyat dan kembali berkuasa.
57. UMNO yang digagas pada 11 Mei 1946, lahir dengan cabaran yang selari dengan era ketika itu. Ini abad ke-21, maka itu, kita harus menyesuaikan keperluan dan tuntutan hari ini, untuk “rebranding” atau menjenamakan semula UMNO.
SENJATA PEMBINASA BERSKALA MASSA
(WEAPON OF MASS DESTRUCTION – WMD)
Sidang perwakilan sekalian,
58. Wanita UMNO harus bermula dengan berani berkata benar. Wabak denial syndrome tidak menguntungkan kita. Dalam dunia niaga ada konsep SWOT Analysis – yakni mengenalpasti Strengths (kekuatan), Weaknesses (kelemahan), Opportunities (peluang) and Threats (ancaman). Analisa segera harus dilakukan, bagi membolehkan kita bergerak ke hadapan.
59. Sudah tiba masanya, kita mengkaji setiap aspek yang membabitkan parti samada dari segi budaya, cara kerja, nilai, juga sasaran atau orientasi baharu.
60. Kita harus melihat secara jujur, seluruh aspek operasi, juga cara kita berkomunikasi dengan rakyat terbanyak. Saya mencadang dilakukan overhaul secara total.
61. Sudah sampai masanya UMNO melalui perubahan drastik dan menolak budaya negatif yang telah mencalarkan imej kita selama ini, termasuklah dominasi warlords dalam parti.
62. Dunia telah berubah sejak lahirnya UMNO. Masyarakat dunia telah melalui transformasi yang luar biasa. Teknologi telah mengubah kehidupan manusia. Kini kita berada dalam era pasca ledakan teknologi internet.
63. Kita harus mengakui bahawa teknologi maklumat merupakan double-edged sword atau pedang bermata dua. Ia boleh membawa manfaat yang besar kepada manusia dan kemanusiaan, hidup dan kehidupan. Di sebalik itu, ia juga boleh membinasakan.
64. Tidak mampu disangkal lagi, teknologi maklumat menjadi peralatan baharu yang mengubah cara kita bekerja, berurusan, mentadbir, bersosial, berkomunikasi malah berkerajaan.
65. Tetapi di tangan orang yang berkepentingan peribadi dan berniat jahat, ia boleh menjadi Weapon of Mass Destruction (WMD) atau senjata pembinasa berskala massa.
66. Parti kita sendiri telah menjadi mangsa musibah ini. Kita telah difitnah, diperkecilkan, dituduh dan diperlekehkan oleh kekuatan pengguna media sosial “di sebelah sana”.
67. Hakikatnya, kita sendiri tidak berupaya menangani apatah lagi menguruskan cabaran baharu itu. Dalam usaha kita untuk memenangi hati dan minda (winning the heart and mind), kita tidak kebal.
68. Kita telah tewas di gelanggang siber dan kita kalah dalam medan perang persepsi umum atau public opinion.
69. Maka itu, kita harus berfikir di luar kotak. Kita harus melihat secara tuntas pendekatan kita dalam semua hal. Salah satu elemen yang harus kita perbaiki adalah aspek keahlian parti kita.
70. Tabiat kita yang selama ini beranggapan bahawa UMNO tidak akan rebah kerana bilangan ahli yang ramai, ternyata khilaf!
71. Sekian lama, kita yakin dan selesa dengan alasan bahawa pada setiap pilihan raya, jumlah anggota UMNO selain ahli parti-parti komponen sudah cukup untuk memenangkan parti.
72. Hakikatnya, keanggotaan parti yang ramai tidak secara automatisnya diterjemahkan kepada bilangan undi yang kita perolehi.
73. Ambillah iktibar peristiwa besar Perang Badar al-Kubra – pertempuran pertama umat Islam melawan musuh. Dengan pertolongan Allah, tentera Muslim berjumlah 313 (tiga ratus tiga belas) orang menang, berbanding jumlah tentera Quraish seramai 1,000 (seribu) orang.
74. Apakah rahsia kemenangan Perang Badar? Majoriti ulama menyimpulkan, rahsianya ialah wala’ – iaitu kecintaan dan kesetiaan total kepada pemimpin dan perjuangan. Falsafah kecintaan dan kesetiaan inilah yang harus dijunjung oleh setiap ahli UMNO kepada pemimpin dan perjuangan parti.
75. Kesimpulannya mudah. Kita tidak perlu hanya bergantung kepada ahli parti yang berdaftar sahaja. Kita perlukan dukungan massa, kumpulan yang di luar kerangka parti kita, tetapi mereka memahami, menghargai dan bersimpati dengan perjuangan UMNO.
76. Mari kita sama-sama kembali ke perjuangan asal ini. Kita ambil semangat teras perjuangan kita – daripada mereka yang berjuang tanpa memikirkan kepentingan diri sebaliknya meletakkan parti di atas segala-galanya.
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,
77. Kita juga perlu kenal diri Melayu kita sendiri. Seperti sebuah kisah tiga (3) NGA yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu Jawa.
78. Falsafah ‘NGA’ yang pertama; Apabila agama dan bangsa diasak, sifat pertama orang Melayu adalah NGALAH. Maknanya, mudah beralah.
79. Falsafah ‘NGA’ yang kedua pula: Apabila agama dan bangsa diasak dan diprovokasi, orang Melayu akan NGALIH. Maknanya, beralih atau mengelak ke arah lain.
80. Falsafah ‘NGA’ yang ketiga; Apabila agama dan bangsa diasak, diprovokasi, diancam dan ditekan bertalu-talu sehingga hilang tahap kesabarannya, sifat terakhir orang Melayu adalah NGAMUK.
81. Dalam konteks perjuangan bangsa dan agama, barang diingat, janganlah sampai ada pihak lain yang cuba mempertikaikan Hak Ketuanan Melayu, Hak-Hak Keistimewaan Raja-Raja Melayu, apatah lagi Kesucian Agama Islam.
82. Dalam kata yang mudah, orang Melayu memiliki kesabaran dan kecekalan yang amat tersanjung, semenjak Zaman Bahari lagi.
83. Telusurilah sejarah panjang amukan Wanita Melayu bermula daripada yang tersurat dalam Tuhfat al-Nafis yang menyebut Ratu Ma/lang/kik dan Sultanah Nahrasiyah dalam Babad Jawa.
84. Hatta, jika diselak lembaran Sejarah Melayu, kita akan bertemu dengan nama-nama besar wanita Melayu berdarah pejuang seperti Tun Kudu anak Bendahara Seri Wak Raja, Tun Fatimah anakanda Bendahara Tun Mutahir, Paduka Cik Siti Wan Kembang dari Pantai Timur, sehinggalah kepada Raja Hamidah dari jalur Kesultanan Riau-Lingga.
85. Memang benar, kita wanita Pentas Sunda terkenal dengan sabar dan cekal. Kita selalu memilih jalan untuk tidak berkelahi atau non-confrontational pada hampir setiap ketika dan keadaan.
86. Tetapi, jangan sampai kita diprovokasi sehingga nasib, maruah bangsa dan agama kita dibangsatkan. Kita tidak akan sekali-kali berkompromi dengan tindakan sebegitu.
Para perwakilan sekalian,
87. Sebagai pembangkang yang berwibawa, kita wajib mendesak Kerajaan Pakatan Harapan memikul tanggungjawab serta akauntabiliti terhadap setiap tindakan mereka. Memang benar, Manifesto 10 Janji 100 Hari bukanlah kitab suci. Tetapi, setiap janji perlu ditepati!
88. Taktik “kejap-kejap terkejut” – dan alasan klise “akan dikaji”, dan kemudiannya “sedang dikaji” bukanlah cara untuk mentadbir kerajaan. Sebelum PRU, bergegar janji mereka untuk melakukan macam-macam perkara. Tetapi sesudah mendapat kuasa dan jawatan, mereka berikan pelbagai alasan.
89. Kononnya hendak menghapuskan GST (Goods and Services Tax) yang membebankan rakyat. Tetapi kini rakyat terpaksa pula menanggung SST (Sales and Services Tax).
90. Kita lihat pula dalam isu PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional). Dulu ada orang berdegar-degar mengatakan sangat bersimpati dengan penerima PTPTN.
91. Tetapi sesudah mendapat kuasa dan kedudukan, mereka kata; “Tiada tanggungjawab moral kalau peminjam tak bayar PTPTN.”
92. Begitu juga janji oleh seorang individu yang kini menjadi menteri, untuk menghapuskan tol dari Simpang Renggam ke Johor Bharu. Kononnya, sebanyak RM248 (dua ratus empat puluh lapan Ringgit Malaysia) dapat dijimatkan dalam sebulan. Sekarang mana pergi janji tersebut?
93. Jangan lupa juga kepada laungan mereka di sebelah sana – yang kononnya kerajaan akan menurunkan harga petrol RON 95 kepada RM1.50 seliter pada hari pertama Pakatan Harapan menang. Sehingga hari ini, sesudah 142 hari mereka memerintah, harga masih di takuk lama.
94. Provokasi terhadap agama Islam juga semakin ketara. Isu LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender), kebebasan beragama, isu matrimonial dan pelbagai lagi merengsakan kehidupan umat Islam di Malaysia.
95. Sudah-sudahlah menyalahkan kerajaan terdahulu dan menjadi kerajaan yang flip-flop. Kalau pandai mentadbir, secupak pun akan menjadi segantang.
Para perwakilan sekalian,
96. Mutakhir ini, seorang demi seorang pemimpin UMNO diaibkan dan ada di antara pemimpin yang terpaksa berdepan dengan tekanan politik. Bagaimana kita mahu mencergaskan urusan pentadbiran parti, jika akaun-akaun UMNO di peringkat pusat dan negeri dibekukan.
97. Jujur! Saya sangat khuatir dengan perkembangan ini yang dilihat seolah-olah sebagai langkah permulaan untuk membatalkan pendaftaran parti keramat ini.
98. Dalam menghadapi pelbagai tekanan yang melanda parti, hal yang paling asas – ialah kita perlu memastikan kesatuan hati dalam kalangan kita sendiri. Kita perlu ada kekuatan luar biasa dan daya tahan serta juang yang tinggi.
PENYATUAN UMAT MELAYU
Sidang perwakilan yang dikasihi sekalian,
99. UMNO sukar dihancurkan dari luar, tetapi mudah dipecahkan dari dalam. Sedarkah kita bahawa ada usaha berterusan untuk memecahbelahkan parti dari dalam oleh musuh kita.
100. Parti kita sudah tidak mampu lagi menanggung sebarang perpecahan selepas kekalahan teruk pada PRU-14. Sepatutnya kita berusaha untuk berpadu bak perumpamaan silam; “Serumpun bak serai, sejunjung bak sirih.” Bukan sahaja sesama ahli parti, bahkan dengan parti-parti yang sehaluan dengan perjuangan kita.
101. Sehubungan itu, kerjasama UMNO–PAS wajar dilihat sebagai landasan untuk menyatukan umat Islam Melayu. Sekali gus menjadi suara check and balance dalam usaha mengukuhkan blok pembangkang di negara ini.
102. Kerjasama ini pastinya mempunyai cabaran. Namun, diharap ia mampu menjadi permuafakatan dua parti politik Melayu terbesar di negara ini.
LIMA PETUNJANG UTAMA
Sidang perwakilan yang bijaksana,
103. Dalam menghadapi cabaran ke arah pilihan raya akan datang, saya gariskan Lima Petunjang Utama yang akan memandu Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, iaitu:
PERTAMA: EMPOWERING CORE VALUES (Memperkasa Nilai Teras)
104. Teras yang pertama ialah Agama Islam. Sebagai ibu dan wanita dalam keluarga, kita perlu memperkasakan ajaran Agama Islam – bermula dari dalam diri sendiri, dan kemudiannya sesama ahli keluarga.
105. Teras yang kedua ialah Budaya Kekeluargaan. Nilai-nilai positif perlu ditanam dan dipupuk dalam keluarga besar Wanita UMNO untuk memastikan generasi seterusnya memiliki jati diri dan peribadi yang terbaik. Kita perlu sedar bahawa kita adalah wakil kepada masyarakat.
106. Teras yang ketiga ialah Keluhuran Perlembagaan. Saya ingin bertanya berapa ramai antara kita yang benar-benar membaca perlembagaan parti? Jika kita jujur mahukan parti kembali diterima rakyat, kita perlu menjiwai setiap inti perlembagaan parti.
KEDUA: PROPAGATOR OF CHANGE (Propagator Perubahan)
107. Wanita UMNO perlu mencergaskan usaha untuk menambah baik serta memperkasa parti dalam bidang pengumpulan data penyelidikan, penguasaan media, dan pemujukan persepsi awam.
108. Dalam era kita bukan lagi menjadi tonggak pemerintahan, kita akan berperanan mengumpul dan menganalisa maklumat – serta sentiasa peka dengan isu semasa.
109. Ringkasnya, melalui data-data penyelidikan yang terkumpul itu nanti, ia akan dapat membantu Wanita UMNO mengatur strategi dan menguruskan persepsi rakyat. Sekali gus akan menjadikan kita pembangkang yang knowledgeable dan lebih efisyen.
KETIGA: REBIRTH OF WOMEN MOVEMENT (Kelahiran Semula Pergerakan Wanita)
110. Tidak dapat dinafikan, Wanita UMNO melalui jentera Jalinan Rakyat (JR) telah terbukti memberi impak selama ini. Kita perlu memperakui bahawa degup jantung jentera JR telah membantu parti selama ini. Sekiranya jentera JR ini berhenti, maka matilah seluruh raga parti.
111. Namun perlu diingatkan, pendekatan dan pemikiran JR perlu berubah agar sesuai dengan keadaan sekarang. JR digesa agar lebih giat melaksanakan pendekatan bottom-up – tanpa perlu meninggalkan pendekatan top-down. Kita perlu menggunakan apa juga cara yang ada untuk lebih rapat dengan rakyat – terutama melalui aplikasi media sosial.
112. Melalui jentera Wanita UMNO, kita akan terus menyantuni setiap lapisan masyarakat secara bersemuka atau face-to-face – tetapi melalui penambahbaikan yang disesuaikan dengan kekangan dana kita hadapi sekarang.
KEEMPAT: STRATEGIC PARTNERSHIPS (Perkongsian Strategik)
113. Kerjasama yang strategik perlu diwujudkan – seiring memperkukuhkan hubungan sedia ada – dengan organisasi luar. Ini termasuklah Badan Bukan Kerajaan atau Non-Governmental Organization; Kumpulan Berkepentingan atau Interest Group; dan Organisasi Media yang boleh membantu parti dalam meraih semula mandat rakyat.
114. Untuk itu, para aktivis dan profesional wanita yang mempunyai pengalaman, pengetahuan, serta kelebihan perlu disantuni. Kita perlu menyediakan landasan kepada rakyat sebagai stakeholders – supaya mudah mereka melontarkan idea dan menyumbangkan kudrat tanpa mengira agama dan bangsa.
KELIMA: PERFECTING THE ART OF LISTENING (Mendengar Dengan Teliti)
115. Kita perlu realistik, terbuka dan peka dengan perubahan sekeliling. Kembali mendengar seruan dan tuntutan perubahan – keluh kesah dan hasrat ahli serta rakyat terhadap kita dengan sebening-bening kejujuran hati. We must perfect the art of listening!
116. Wanita UMNO perlu memfokuskan seluruh tindakan ke arah usaha memahami perilaku manusia secara menyeluruh. Ini termasuklah para ibu tunggal, warga emas, kelainan upaya dan lain-lain.
117. Saya mahu mengajak keluarga besar Wanita UMNO, mendekati dan menarik lebih ramai simpatisan UMNO, non-card-carrying members dan volunteers. Inilah yang sepatutnya menjadi keutamaan kita kini dan masa-masa hadapan.
PENUTUP
118. Sebelum saya menoktahkan bicara pada persidangan ini, saya memanjatkan harapan kepada Presiden parti, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar dapat dipertimbangkan suara dan harapan Pergerakan Wanita UMNO;
i. Wanita menggesa: Agar parti memastikan satu reformasi terpimpin terhadap Perlembagaan UMNO dibuat bagi mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli, khususnya wakil rakyat yang keluar parti secara semberono. Ini kerana ia melibatkan soal kesetiaan dan integriti, malah pengkhianatan besar terhadap mandat rakyat.
ii. Wanita mendesak: Agar parti mengambil tindakan kepada mana-mana wakil rakyat yang menang di atas tiket UMNO dan Barisan Nasional. Pada masa yang sama, mereka perlu memulangkan semula kerusi kepada kita sekiranya mereka bertindak keluar parti.
Walaupun ia bukanlah satu kesalahan dari segi undang-undang sivil, namun tindakan wakil rakyat yang melompat parti telah melanggar kontrak sosial. Mereka telah menghancurkan kepercayaan parti dan mengkhianati amanah pengundi.
iii. Wanita mencadangkan: Agar parti melaksanakan Aku Janji Taat Setia (bai’ah) UMNO ke atas semua ahli bagi membuktikan ketaatan dan kesetiaan kepada parti. Ia juga bertujuan membendung ahli mengkhianati parti.
iv. Wanita mengesyorkan: Agar parti mengizinkan UMNO Sabah diberi kuasa autonomi untuk menentukan beberapa polisi utama yang bersesuaian dengan kehendak dan tuntutan di negeri itu.
Ini amat relevan kerana trend, persepsi dan lanskap politik kita yang telah berubah. Tuntutan semasa ini memerlukan political alignment dilakukan, bermula daripada peringkat Pusat hingga ke Cawangan.
v. Wanita meminta: Agar parti mempertimbangkan cadangan mewujudkan sebuah gabungan baharu bagi memperkasakan Barisan Nasional yang kini dianggap semakin lesu. Gabungan parti-parti baharu ini harus mengutamakan kemajmukan masyarakat negara ini tanpa meminggirkan kepentingan kaum masing-masing.
Sidang perwakilan sekalian,
119. Roh sebenar UMNO bersikap tidak terlalu membezakan pengikut dengan pemimpin – seperti saling perlunya aur dan tebing; isi dengan kuku. Sebagaimana adab yang dipesan oleh seorang sasterawan kelahiran Riau:
Yang didahulukan selangkah,
Yang ditinggikan seranting,
Yang dilebihkan serambut,
Yang dimuliakan sekuku.
120. Maksudnya, jarak seorang pemimpin dengan rakyatnya tidak boleh terlalu jauh. Jika ditinggikan sekalipun, memadai sekadar yang patut sahaja. Andai pemimpin perlu dilebihkan, biarlah berpada-pada. Dan, jika wajar dimuliakan, usahlah berlebih-lebihan pula.
121. Akhirul kalam, marilah kita segarkan kembali hasrat dan aspirasi perjuangan. Kita pamerkan semangat tinggi untuk bangkit semula dalam skop dan kerangka perjuangan asal, tanpa mengetepikan perlembagaan dan kedudukan kaum lain yang ada di negara ini.
122. Ingatlah pesan seorang ulama tersanjung: “Hanya dua tempat bertanya, pertama Tuhan, kedua hati. Jika hartamu sudah tidak ada, belumlah kita bernama rugi. Tetapi jika keberanian sudah tidak ada, seluruh kehidupan menjadi porak peranda”.
123. Kita bulatkan tekad dalam menghadapi dugaan ini ketika mata masih celik, telinga belum tuli dan jantung masih berdenyut. Percayalah! Ikhtiar dan hikmah kita akan menzahirkannya.
Sekian dan Selamat Bersidang!
WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH,
WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABAROKATUH