Ucapan Dasar Ketua Puteri UMNO Penuh Aura Suntik Semangat Untuk Terus Bangkit

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Hari ini bermulalah persidangan ketiga-tiga sayap UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018).

Bagi persidangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, rata-rata melahirkan rasa bangga dan berpuas hati dengan ucapan dasar ketua pergerakan tersebut, Datuk Zahida Zarikh Khan.

Bagi Nur Diyana Ra’il wakil Puteri Iskandar Puteri, ucapan Ketua Puteri penuh dengan semangat dan menyuntik rasa ingin terus melakukan yang terbaik bagi menyumbang kepada kebangkitan parti.

“Dalam ucapan tadi, beliau turut menggariskan 5S iaitu solidariti, sinergi, survival, sukarela dan strategi, jadi perkara ini memberi semangat kepada Puteri untuk terus bergerak.

“Selain itu, beliau juga ada menyentuh tentang Puteri UMNO harus berani menegur kepimpinan tertinggi hatta Presiden sekalipun. Selama ini kita dimomokkan takut nak tegur pemimpin tapi kali ini kita perlu tegur sekiranya ada pemimpin atasan yang terkeluar dari landasan perjuangan.

“Apa yang lebih menarik, Ketua Puteri juga menekankan bagaimaan gerak kerja Puteri selepas jadi pembangkang antaranya memperhebatkan di media sosial dan jangan hanya menjadi Puteri yang berdiri dalam komoniti sendiri sahaja tetapi perlu berada dalam masyarakat dan menjadi individu yang mengangkat isu masyarakat. Walaupun mejadi pembangkang tetapi kita perlu menjadi suara untuk mengangkat hal-hal rakyat,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Sementara itu bagi wakil Puteri Ipoh Timur, Norhidayu Husin, ucapan dasar Ketua Puteri sangat menyentuh hati.

“Ucapan beliau benar-benar dari hati demi memastikan Puteri terus bangkit. Sekarang ini kita masih merangkak kerana baru belajar menjadi pembangkang, maklumlah kita sudah biasa jadi kerajaan jadi bila jadi pembangkang ia agak berlainan.

“Saya berharap Puteri UMNO akan terus bersama-sama berganding bahu menjadi pembangkang yang baik agar UMNO terus ada di hati rakyat,” katanya.

Wakil Puteri Alor Setar, Salsabila Md Sharif pula berpandangan, ucapan dasar ketua Puteri memberi satu aura untuk akar umbi terus bangkit walaupun dalam keadaan penuh perit.

“Saya berharap walaupun kita kalah hari ini tetapi kita perlu terus kuat untuk survival parti.

“Kita perlu lebih agresif dan garang… sebelum ini Puteri mungkin dikenali sebagai petugas IT tetapi selepas ini kita perlu lebih menyantuni di peringkat bawah untuk menjawab di media sosial.

“Dulu mungkin kita tidak berani walaupun ada fakta tetapi sekarang tidak boleh diam lagi. Fakta dan kebaikan perlu disebarkan,” tegas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.