Tirai Perhimpunan Agung UMNO 2018 Dibuka Dengan Semangat Perjuangan Yang Masih Membara

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Perhimpunan Agung UMNO 2018 yang membuka tirai rasminya malam ini dengan upacara perasmian serentak Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Haji Mohamad Hasan memperlihatkan UMNO sesungguhnya masih membara semangatnya untuk meneruskan cabaran dalam perjuangan meskipun buat pertama kalinya bersidang sebagai pembangkang.

Perwakilan dan pemerhati yang hadir memenuhi ruang Dewan Merdeka ternyata memberi mesej betapa UMNO walaupun diasak di segenap penjuru masih mampu bertahan dan bersedia mengharungi rintangan yang mendatang.

Bagi wakil Wanita UMNO Pasir Salak Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, kehadiran ramai perwakilan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta pemerhati ini jelas menunjukkan akar umbi masih terus bersemangat membina parti keramat ini dari kajatuhan.

“Semangat akar umbi masih utuh dan tidak luntur. Malam ini jelas menunjukkan semua sayap masih terus mempercayai perjuangan UMNO.

“Maka marilah kita jadikan ucapan Timbalan Presiden sebagai suntikan untuk kita bangkit dengan semangat baru, cara kerja baru dan jangan putus semangat. Kita akan terus mara dengan cara berbeza dan belajar dari kesilapan yang lepas,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Wakil Wanita UMNO Kota Melaka, Haryaty Hamzah pula berpendapat, kehadiran ramai akar umbi pada malam ini ternyata menolak sangkaan kononnya perhimpunan kali ini akan hambar.

“Inilah sokongan luar biasa. Bila saya tengok viral di media sosial dalam dan luar dewan penuh, saya amat terharu. Inilah satu mesej bahawa parti UMNO adalah parti yang masih relevan untuk memayungi bangsa Melayu dan rakyat negara ini secara keseluruhan,” jelasnya.

Semangat yang luar biasa… itulah pandangan wakil Puteri UMNO Kuantan, Fadwah Anuwar.

Jelas beliau, walaupun UMNO tewas pada pilihan raya yang lalu tetapi kehadiran pada malam ini jelas menunjukkan semangat UMNO masih kuat, teguh dan kukuh.

“Selaku sayap yang muda, saya berasa amat bangga dapat melihat kehadiran yang ramai ini. Inilah kebangkitan UMNO. Masa bersedih telah tamat.. sekarang masa untuk bekerja,” katanya.

Sementara itu, wakil Puteri UMNO Kota Bharu, Nurul Najihah Yasim turut melahirkan perasaan terharu melihat begitu ramai perwakilan sayap-sayap membanjiri PWTC sekaligus memenuhi Dewan Merdeka.

“Inilah bukti bahawa anak muda masih percaya kepada parti UMNO yang boleh membela bangsa Melayu. Kita akan makin kuat… Insha Allah,” ujarnya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian Mohamad Hasan turut menggariskan tiga faktor penting yang mendasari kegagalan parti keramat UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurut Mohamad, faktor pertama ialah impak globalisasi yang dipacu oleh kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi sehingga melahirkan generasi yang bukan sekadar mengangguk dan mengiyakan semua perkara atau ‘comfirmist’.

Kedua, modenisasi Malaysia telah melahirkan generasi Melayu yang tidak lagi mempunyai nilai dan hubungan sentimental dengan UMNO dan ketiga, kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk berubah mengikut tuntutan sezaman.

Struktur, budaya, dasar dan pemikiran politik UMNO dan BN adalah citra kurun ke-20, sedang Malaysia telah jauh berada dalam kurun ke-21.

Justeru tegas Mohamad tugas sayap-sayap UMNO selepas ini sememangnya penuh ranjau dan cukup mencabar.

“Kita mesti jelas. Membangunkan semula UMNO tidak sesekali bererti hanya mengambil alih kuasa sahaja. Dan bukan sekadar untuk kita melaungkan slogan keramat ‘Hidup Melayu’. Tetapi bagaimana untuk Melayu dalam abad ke-21 mesti hidup secara maju. Dan ia dipimpin oleh UMNO.

“Kita mesti boleh mengungkap cara bagaimana kita akan membidani kelahiran Melayu Maju dan bukan lagi Hidup Melayu,” katanya.

UMNO jelasnya lagi harus tampil, bekerja keras meyakinkan semula bangsa Melayu bahawa UMNO akan menumpukan seluruh kudratnya dalam masa sepuluh tahun akan datang, untuk menjadi gerakan kebangkitan dan pencerahan bagi bangsa Melayu.- MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.