Tinggalkan Nostalgia Lalu, Terus Mara Ke Depan – Shahar

 

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Mohd Shahar Abdullah mengajak seluruh ahli pemuda agar meninggalkan nostalgia kekalahan pada Pilihan Raya Umum yang lalu sebaliknya terus mara ke depan.

Menurut beliau masa sekarang adalah masa untuk mengorak langkah bekerja dan bertindak untuk terus memperkukuhkn parti hari ini dan bukannya meratapi sejarah lalu.

“Kini, adalah masa untuk kita bertindak dan berkerja. Tidak perlu lagi kita meratapi sejarah hitam yang sudah berlalu. Apa yang penting, apakah kita mampu belajar daripada sejarah hitam tersebut.

“Apakah kita mampu menggali hikmah yang Allah ingin tunjukkan? Dan adakah kita belajar daripada kesilapan dan kelemahan episod tersebut? Apa yang perlu kita fikirkan sekarang bagaimana kita hendak memperkukuhkan parti kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Pemuda UMNO sebagai pencadang usul ucapan dasar Ketua Pemuda, di sini, hari ini.

Tegas Shahar keberadaan ahli parti untuk terus kekal di dalam UMNO perlu dihayati sepenuhnya walaupun terdapat pemimpin dan figuran parti meninggalkan perjuangan hari ini.

“Keberadaan kita dalam UMNO menunjukkan Allah SWT memilih kita untuk memimpin, mengemudi dan mengendalikan UMNO ini. Kita sedar walaupun beberapa pemimpin dan figura UMNO telah pergi meninggalkan parti ini, kita perlu bertanya, mengapa Allah masih mahu kita kekal di dalam parti ini.

“Pada saya sudah tentulah ada sebab dan hikmahnya. Terimalah hakikat daripada ketentuan takdir ini. Marilah kita berjiwa besar dan menerima hakikat ini.

“Parti UMNO adalah “rumah kita”. Ahli UMNO adalah ahli keluarga kita. Kita berada di dalam sebuah rumah. Kita umpama sebuah keluarga besar…kita ada datuk dan nenek, ibu dan ayah, abang, kakak dan adik, kita ada saudara mara. Di dalam rumah inilah kita bercerita tentang suka dan duka.

“Di dalam rumah inilah kita nasihat-menasihati. Di dalam rumah inilah kita duduk semeja dan makan bersama-sama. Di dalam rumah inilah, Ibu dan ayah melayan kerenah dan keletahan kita adik-beradik yang pelbagai. Di dalam rumah inilah kita bernostalgia,” katanya.

Katanya lagi perkara penting yang perlu ditekankan hari ini adalah soal “audit komunikasi”.

“Audit komunikasi parti dengan ahli, audit komunikasi parti dengan rakyat. Kita tahu, malah sedar bahawa selama 60 tahun UMNO dan Barisan Nasional memerintah negara ini, telah banyak perkara yang baik untuk rakyat.

“Cuma, bagaimanakah kita berkomunikasi atau menunjukkan, bercakap dan berbicara bahawa perkara-perkara baik yang kita lakukan itu sampai, dilihat, dirasai dan disedari oleh rakyat.

“Apakah sebenarnya rakyat tidak tahu, atau tidak berasa kebaikan yang kita buat itu? Apakah rakyat di bawah mendapat maklumat yang sebenar atau tidak? Inilah yang kita maksudkan sebagai “audit komunikasi”, katanya.

Pada masa yang sama beliau menyarankan agar struktur parti di semua peringkat terus diperkukuhkan dengan memberi fokus serta tumpuan untuk pilihan raya umum akan datang.

“Perkukuhkan parti kita di cawangan-cawangan. Fokus dan tumpu kepada perjalanan untuk menghadapi PRU Ke-15 kelak. Kita perlu kukuh dan merancang strategi mulai sekarang.

“Pemuda UMNO adalah sayap penting dan aset penting kepada UMNO. Kita mungkin perlu melakukan kaderisasi jentera di kalangan orang muda. Jadikan “pemuda untuk rakyat”, katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.