Pemuda, Wanita Dan Puteri Desak Tindakan Diambil Terhadap Petualang UMNO

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Ada isu lain yang berkaitan dengan soal kepentingan diri hingga mendorong beberapa bekas pemimpin UMNO sehingga tergamak meninggalkan parti itu selepas ia tewas dalam pilihan raya umum lalu.

Justeru, alasan kononnya tindakan tersebut dibuat atas dasar prinsip hanyalah retorik klise politik kerana ‘pokok sudah bergoyang’ sebelum perkara itu berlaku dan pemimpin sayap UMNO hari ini mendakwa mereka tahu apa sebabnya.

Sehubungan itu, ketiga-tiga sayap UMNO mendesak pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas ke atas petualang-petualang tersebut termasuklah tindakan undang-undang.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, tindakan tegas itu wajar kerana mereka menggunakan segala kemudahan parti untuk meraih jawatan sebelum ini.

“Ingatlah UMNO yang kalian sisih inilah yang pernah menatang anda di waktu senang, mendukung anda hingga ke puncak.

“Mereka yang bertanding atas nama parti, memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti tetapi akhirnya curang kepada akar umbi perlu diambil tindakan tegas termasukan tindakan undang-undang,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar dalam Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2018 di sini hari ini.

Bagi Pergerakan Wanita UMNO Ketuanya, Datuk Dr. Noraini Ahmad mahu parti memastikan satu reformasi terpimpin terhadap perlembagaan parti dibuat bagi mengambil tindakan ke atas wakil rakyat UMNO yang keluar parti.

“Wakil rakyat perlu memulangkan semula kerusi kepada kita (UMNO dan Barisan Nasional) sekiranya mereka bertindak keluar parti.

“Meskipun ia bukan satu kesalahan dari segi undang-undang sivil, namun tindakan wakil rakyat yang melompat parti telah melanggar kontrak sosial dan menghancurkan kepercayaan parti,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, selain dikenakan tindakan tegas dan drastik, pergerakan itu mendesak Ahmad Zahid untuk memikirkan tindakan undang-undang terhadap mana-mana wakil rakyat UMNO yang melompat keluar parti.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan terhadap wakil rakyat parti yang melompat sama ada mereka menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai parti lain.

“Saya menyeru kepada semua supaya meneguhkan pendirian. Inilah satu-satunya parti yang ada untuk kita berpijak, supaya langit yang dijunjung akan terus melindungi bangsa dan agama kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.