PAU 2018: Ikuti Siaran Langsung Ucapan Dasar Presiden Malam Ini

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Ucapan Dasar Presiden merupakan kemuncak Perhimpunan Agung UMNO (PAU), yang dinanti-nantikan oleh semua ahli parti, perwakilan, penyokong dan juga masyarakat umum.

Berbeza tahun-tahun sebelumnya, buat julung kalinya pada PAU 2018 ini Presiden akan menyampaikan ucapan dasarnya pada sebelah malam.

Justeru pada malam ini, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan tersebut di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, yang pastinya akan menyentuh mengenai hala tuju parti bagi mengharungi politik negara pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Sehubungan itu, UMNO Online akan membawakan siaran secara langsung (Facebook Live) ucapan Ahmad Zahid melalui medium Facebook rasmi parti, facebook.com/mediaumnomalaysia dijadualkan pada jam 9.30 malam ini.

Manakala selesai sahaja majlis, UMNO Online akan membawakan satu lagi Facebook Live, diskusi bersama Ketua Penerangan Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah, yang akan mengulas topik perbincangan mengenai Ucapan Dasar Presiden tersebut, dijangka pada jam 11 malam.

Diskusi tersebut akan dikendalikan oleh Datuk Dr Azizan Abdul Majid selaku moderator.

Jangan lupa bersama-sama kita menyaksikan siaran langsung tersebut yang pastinya dapat memberikan informasi yang berguna khususnya tentang hala tuju dan perjuangan UMNO dalam menghadapi segala cabaran politik yang mendatang.

Facebook UMNO Online juga pada esok, 30 September akan menyiarkan siaran secara langsung ucapan penggulungan Presiden, dijangka pada jam 4 petang. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.