Akar Umbi Tonggak Utama Untuk UMNO Atur Langkah Kembali Kukuh

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap, selepas Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018), akar umbi akan mengatur langkah yang panjang dari segi gerak kerja bagi mengukuhkan UMNO di setiap bahagian masing-masing.

Jelas beliau, ini penting kerana untuk merampas kembali kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH), akar umbilah yang perlu memainkan peranan.

“Saya percaya apa yang akan disebut oleh Presiden parti dalam ucapan beliau malam ini adalah kita mesti jadi pembangkang yang kuat dan yang bertanggungjawab kerana kita adalah ‘government in waiting’. Jadi kekuatan hari ini akan menjamin untuk kita merampas kembali kerajaan, untuk perkara itu berlaku, ahli lah yang perlu memainkan peranan iaitu di peringkat akar umbi.

“Maka bila balik ke kawasan, mulakan gerak kerja kita untuk menyakinkan rakyat tentang kekuatan kita dalam menjaga kepentingan rakyat.

“Saya percaya dengan kegagalan demi kegagalan kerajaan hari ini dan dengan kejayaan kita untuk mendekati rakyat, persepsi rakyat akan berubah dan mereka akan kembali kepada BN dan UMNO,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Di samping itu, beliau turut melahirkan rasa terharu dengan sambutan meriah ahli UMNO pada PAU 2018.

“Saya dapat lihat semangat yang berbeza. Dulu meriah tetapi kali ini semangatnya berbeza mungkin kerana kita ingin keluar dari kekalahan dan ingin bangkit semula jadi semangat lebih membara.

“Sebab itu saya kata, tidak mungkin UMNO lebur kecuali ada tindakan-tindakan lain seperti nak haramkan UMNO melalui undang-undang. Tapi nak leburkan UMNO dari semangat, tidak mungkin sebab semangat akar umbi masih kuat dan tinggi. Sokongan orang Melayu terbukti bila mana UMNO dapat majoriti terbesar dari bangsa Melayu berbanding parti lawan pada PRU-14 yang lalu.

“Tidak mudah untuk UMNO kalah walaupun ada gerakan akhir-akhir ini untuk melemahkan UMNO tetapi sebaliknya semangat ahli semakin kuat untuk mempertahankan parti keramat ini,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.