UMNO Atau PH Yang Menuju Kehancuran?
KUALA LUMPUR 28 Sept. – Sebagai sebuah parti terbesar, UMNO tidak akan “collapsed” atau runtuh seperti dakwaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kecuali ia diharamkan seperti yang berlaku pada tahun 1987.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun Barisan Nasional (BN) kecundang dalam PRU-14 tetapi UMNO masih memenangi 54 kerusi parlimen menjadikan kerusi terbanyak yang dimenangi oleh sebuah parti.
Katanya, sejarah telah memperlihatkan bahawa pencapaian tertinggi parti-parti yang bergelar pembangkang kepada kerajaan BN sebelum ini seperti PKR dengan pencapaian tertinggi 31 kerusi parlimen, DAP 38 kerusi parlimen dan Pas 23 kerusi dalam posisi sebagai pembangkang.
“Tetapi UMNO sebagai pembangkang dengan jumlah 54 kerusi selepas PRU14 walaupun sehingga hari ini tinggal 49 kerusi tapi masih satu parti terbesar dalam parlimen.
“Kegagalan BN disebabkan kegagalan komponen di dalamnya menyumbangkan kerusi. Malah 46 peratus pengundi Melayu masih memberikan kepercayaan kepada UMNO dengan memperolehi undi Melayu terbanyak berbanding dengan PPBM sebanyak 20 perarus, malah PKR hanya mendapat 10 peratus undi Melayu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata Ismail Sabri, ini jelas bahawa orang Melayu masih mempercayai UMNO.
“Saya cukup yakin dengan kepimpinan baru ini, hala tuju baru serta semangat baru UMNO dari peringkat tertinggi hingga ke cawangan akan bangkit kembali.
“Lebih-lebih lagi orang Melayu sudah mula meragui kemampuan kerajaan hari ini menjaga kepentingan dan hak orang Melayu dan Islam,” katanya.
Beliau berkata, beberapa keputusan kerajaan PH jelas menjejaskan kepentingan orang Melayu dan Islam selain gagal menjaga ekonomi masyarakat Melayu luar bandar yang akan memperkukuhkan kepercayaan bahawa UMNO sahaja yang mampu menjamin kesejahteraan hidup mereka.
“Jadi tidak ada sebab kenapa UMNO akan berkubur,” tegas beliau.
Katanya, kegagalan Kerajaan PH menunaikan manifesto 100 hari sangat mengecewakan rakyat dan banyak pihak yang mengundi mereka atas harapan akan tertunai impian yang mereka janjikan.
“Sehingga hari ini kerajaan masih berdolak-dalih dengan janji mereka malah dengan kenyataan-kenyataan lucu dari Menteri-menteri mereka menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada kerajaan hari ini.
“Rakyat sedang membandingkan polisi-polisi Kerajaan BN yang lepas yang sangat mesra rakyat berpendapatan rendah.
“Mereka sudah merasai kehilangan sentuhan UMNO dan mahu UMNO kembali. Jadi siapakah yang akan runtuh,” soal beliau.