Semangat Daya Tahan Perisai Utama UMNO Yang Hari Ini Diuji – Zahid
KUALA LUMPUR, 28 Sept – UMNO hari ini sedang diuji dan ujian berkenaan hanya mampu dihadapi oleh mereka yang berdaya tahan. Apa yang penting semangat berkenaan tidak luntur agar parti terus relevan dan tidak mudah dipecahkan, demikian menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Tambahnya selain daya tahan, soal kesinambungan juga berkait rapat untuk melihat parti terus ke depan dalam perjuangannya hari ini dan pada masa akan datang.
“Siapa yang akan ambil alih… UMNO mengharapkan golongan muda untuk ambil alih kepimpinan parti akan datang supaya UMNO terus relevan dan ada kesinambungan selepas itu.
“Saya tidak akan menongkat langit… Datuk Dr Asyraf Wajdi pun tidak akan menongkat langit sebagai Ketua Pemuda dan begitu juga pimpinan-pimpinan lain dalam parti ini,” katanya pada program tertutup bersama perwakilan mahasiswa di sini, hari ini.
Katanya lagi pastinya pimpinan mahasiswa yang ada hari ini adalah aset untuk meneruskan kesinambungan parti pada masa akan datang.
Seramai 69 mahasiswa dalam dan luar negara mula berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi menyertai Perhimpunan Agung UMNO 2018 (PAU 2018) yang membuka tirai hari ini. – MediaUMNO