Selagi Panji Dijunjung, UMNO Pasti Bangkit – Najib


KUALA LUMPUR, 28 Sept – Bekas Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yakin parti yang kini dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan berjaya mengharungi segala rintangan dan bangkit berjuang semula untuk bangsa, agama dan negara.

Najib dapat merasai Perhimpunan Agung UMNO (PAU) pada tahun ini pastinya cukup berbeza berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya dan situasi yang dihadapi parti pastinya cukup menduga kekuatan pendukungnya.

“Dari satu sudut memang pahit untuk ditelan, tetapi dari satu sudut lain, ini adalah peluang untuk UMNO bangkit semula dari abu, peluang untuk kita menilai kembali asas perjuangan kita, dan untuk kita mengenal siapa dalam kalangan kita yang benar-benar sayang dan cintakan parti dan yang mana hanya bersama parti untuk kepentingan sendiri.

“Meskipun begitu, saya percaya ahli-ahli UMNO, dari serata negara yang datang kali ini, andalah sebenar-benar ahli, andalah yang setia dan betul-betul berpegang kepada perjuangan parti, andalah yang tak akan berganjak dan senantiasa menjunjung panji UMNO, takkan sesekali biarkan ia rebah ke tanah.

“Saya pernah sebut sebelum ini, bahawa pemimpin datang dan pergi, tetapi perjuangan kita, parti UMNO, tidak akan terkubur,” ujar Najib dalam satu catatan di laman facebooknya mengenai persidangan parti terbesar orang Melayu itu di sini, hari ini.

Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu, buat pertama kalinya UMNO / Barisan Nasional mengalami kekalahan di peringkat Persekutuan serta negeri-negeri kecuali Perlis dan Pahang.

Mengenai persidangan tahunan parti yang bermula esok, 29 hingga 30 September ini juga, Najib yang juga bekas perdana menteri berharap agar semua pendukung parti terus berada dalam satu saf demi survival parti walaupun teruk diasak dari pelbagai sudut.

“Saya berharap kita terus meraikan perbezaan pendapat, kita berdebat, bermusyawarah, menyuarakan pandangan, semuanya tak menjadi masalah, asalkan nawaitu dan matlamatnya adalah serupa, yakni demi kemaslahatan dan kelangsungan parti UMNO yang kita cintai.

“Di saat ini, lebih daripada segala-galanya, adalah masa untuk kita bersama-sama, berpadu tenaga, bersatupadu demi UMNO,” katanya.

Menyentuh mengenai Kabinet Bayangan yang diumumkan baru-baru ini oleh parti, Najib memberi reaksi positif.

“Ia menunjukkan bahawa walaupun kita kini pembangkang, kita mampu mengetengahkan suara dan aspirasi rakyat sebagai agenda nasional dengan bakat, keupayaan dan kewibawaan pemuda dan pemimpin baru dengan sokongan dan dorongan pemimpin berpengalaman,” ujarnya.

Di kesempatan itu juga, Najib menyeru kepada semua ahli kepada sebuah parti yang mendukung agama Islam ini agar sama-sama kembali kepada Al-Quran, lebih-lebih lagi di kala dilanda ujian ketika ini.

“Ingatlah bahawasanya Al-Quran mengajak kita kepada perpaduan dan bukan perpecahan.

“Insya-Allah, dengan izin Allah jua, UMNO tidak akan rebah,” katanya.

Najib turut menitipkan Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran Ayat 103, mafhumnya;

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” Wallahu’alam. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.