Ahli Diseru Terus Istiqamah, Bersama Hadapi Cabaran Teruskan Perjuangan 72 Tahun UMNO


KUALA LUMPUR, 28 Sept – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh ahli parti untuk terus sama-sama istiqamah dalam usaha membina kekuatan parti dan bergerak ke depan meninggalkan nostalgia tanpa meninggalkan sejarah UMNO yang panjang selama 72 tahun.

Menurut beliau jika dulunya UMNO sebuah parti yang berorientasi dan berteraskan kepada perkhidmatan untuk rakyat tanpa mengira kaum, namun hari ini ianya bertukar kepada sebuah parti yang mengutarakan isu-isu semasa yang melingkari rakyat.

Ikuti wawancara khas UMNO-Online bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018.

1.Perhimpunan Agung UMNO 2018, apakah harapan Dato’ Seri kepada jurucakap yang akan membahaskan ucapan dasar Presiden.

Alhamdulillah… PAU 2018 inilah buat pertama kalinya Presiden UMNO adalah ketua Pembangkang. Dan hakikat diakui bahawa kita tidak lagi berada di dalam kerajaan. Dalam hal sedemikian tentunya ucapan dasar yang akan saya bentangkan adalah menjurus ke arah manakah UMNO mahu kita bawa.

Pada waktu yang sama apabila jurucakap daripada negeri-negeri diberikan peluang untuk melontarkan pandangan tentunya saya akan meraikan semua pendapat biarpun pendapat itu mungkin berbeda. Tetapi saya mahu menyelami pemikiran akar umbi bagaimanakah situasi yang harus kita sama-sama hadapi.

Saya faham bahawa set minda kita belum lagi banyak bertukar kerana kita terlalu lama di dalam kerajaan. Maka apa yang saya ingin timba dari pendapat yang akan dikemukakan oleh semua jurucakap negeri tentunya saya tidak harus melakukan sebarang sekatan. Selain itu tidak ada garis panduan yang khusus untuk mereka.

Dalam bentuk inilah kita mahu melihat bahawa sebagai sebuah parti pembangkang kita tidak perlu lagi usul-usul yang pernah kita perbahaskan selama tiga hari sebelum ini yang meliputi bukan hanya membahaskan ucapan dasar presiden tetapi ada usul ekonomi, agama dan pendidikan.

Pada kali ini kita tumpukan kepada satu usul sahaja iaitu ucapan presiden. Maka jurucakap ini bebas untuk memberikan pandangan dan saya mengharapkan pandangan semua untuk kita  ‘move forward’  menuju ke hadapan dan meninggalkan nostalgia tanpa meninggalkan sejarah UMNO yang panjang selama 72 tahun.

Pada waktu yang sama kita mengharapkan agar pandangan ini mesti menggambarkan bahawa permasalahan dalaman yang terdahulu jika ada harus diselesaikan dan saranan-saranan baru harus dikemukakan untuk menentukan kesepaduan di kalangan akar umbi dan kepimpinan di peringkat bahagian, negeri dan nasional harus berada di dalam wadah yang sama kerana ‘blame game’ atau menuding jari kepada mana-mana pihak tidak seharusnya dilakukan.

Yang ada di depan kita ialah kita mesti menukar daripada sebuah parti yang berorientasi dan berteraskan kepada perkhidmatan untuk rakyat tanpa mengira kaum kepada sebuah parti yang mengutarakan isu-isu yang rakyat mahu kita perjuangkan.

2.Kerisauan dan kegusaran ahli parti amat ketara sejak akhir-akhir ini kerana dakwaan tiadanya hala tuju yang jelas dari kepimpinan parti. Boleh Datuk Seri Jelaskan.

Hala tuju kita untuk menjadi kerajaan. Itu hala tuju yang harus dipersetujui oleh semua tetapi kaedah untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan atau menjadi kerajaan itu tugas saya, Timbalan Presiden, Naib, SUA (Setiausaha Agung), ketua Penerangan, Pengerusi Perhubungan negeri, Ahli Majlis Tertinggi (MT) untuk bersama-sama menentukannya.

Dan kita harus mengetahui cara kita berfikir dalam kotak pembangkang. Kalau kita terus berada dan melayani dalam zon yang selesa tentunya kita tidak akan ke mana-mana malah kita akan mengundang kehancuran UMNO. Kalau pasti sayangkan UMNO maka sesuatu mesti dilakukan. Ini termasuk ahli-ahli UMNO di bawah dan juga orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Sebab UMNO harus dilihat bukan hanya sebuah parti politik…ianya sebuah institusi sosial kepada masyarakat majmuk di negara kita dan dalam perjuangan UMNO walaupun berteraskan kepada Islam dan rumpun Melayu tetapi kita tidak mengusik mana-mana agama lain untuk diamalkan oleh penganutnya.

Begitu juga tidak pernah merasakan bahawa kaum lain dipinggirkan walaupun kita faham kita tidak harus menyamaratakan tetapi harus memberikan keadilan dan kesaksamaan dari segi perkhidmatan kepada semua kaum.

Dalam perkara ini kerisauannya bukan hanya kepada kaum Melayu. Saya sendiri pun risau sebab bukan mudah untuk mengurus sebuah parti yang menjadi pembangkang sekarang. Mungkin agak mudah kalau kita menguruskan parti yang menjadi kerajaan.

Jangan kita terus memanjangkan pendapat seteru politik kita yang mengatakan parti kita tidak relevan kerana kepimpinannya tidak ada hala tuju atau presidennya bisu kerana pendekatan saya ialah memberikan peluang dan ‘empowerment’ kepada Timb Presiden, Naib-Naib Presiden, SUA dan lain-lainnya untuk menyatakan pendirian UMNO dari kenyataan yang disediakan secara berpusat.  Dan tidak semestinya daripada Presiden.

Kalau itu dianggap satu kelemahan saya terima namun itu adalah strategi dan ‘tactical move’ yang dilakukan demi untuk melihat saya berkongsi  kebertanggungjawaban secara kolektif, responsibility kepada pemegang-pemegang jawatan utama.

Kalau saya mahu autokratik dan saya mahu melaksanakannya saya fikir saya tidak berlaku adil kepada pemegang jawatan utama yang dipilih atau dilantik dan mereka ada peranan dan kita meraikan peranan-peranan itu itu untuk dimainkan oleh mereka semua.

Dan saya akan menangani isu-isu yang terpenting sahaja. Seperti terbaru apabila keputusan dibuat untuk memboikot PRK (pilihan raya kecil) Port Dickson (PD). Walaupun itu keputusan yang akhirnya diletakkan kepada saya tetapi perundingan dilakukan di kalangan Majlis Tertinggi selain di kalangan Ketua bahagian, malah dibawa ke biro politik UMNO sendiri serta rundingan dengan semua pemimpin parti komponen.

Atas persetujuan itulah keputusan bersama ini dilakukan dengan saya sendiri mengambil kebertanggungjawaban untuk menyatakan kepada umum bahawa kita memboikot PRK PD. Dan jika ini dianggap sebagai kelemahan saya terima tetapi harus dihormati itu adalah kepimpinan saya.

3. Perjuangan UMNO lebih kepada konservatif dan progresif namun seringkali parti dilabelkan sebagai rasis dan sebagainya. Apakah jawapan kepada tuduhan berterusan itu.

Apakah PPBM yang berasaskan Melayu tidak rasis…apakah Dap yang kebanyakan pemimpin utamanya adalah Cina tidak rasis. Adakah PKR pemimpin utamanya adalah kebanyakan Melayu walaupun ada pelbagai agama lain itu dianggap parti majmuk keseluruhannya. Ataupun Amanah yang asas organisasinya serpihan daripada Pas tidak dianggap sebagai parti Islam. Jadi tidak adil kalau UMNO dilabelkan parti rasis.

Dalam sejarah UMNO 61 tahun sebagai tunjang kepada kerajaan Perikatan dan BN (Barisan Nasional), ada atau tidak dasarnya menekan bangsa lain. Ada atau tidak dasarnya yang menekan agama lain. Dalam keadaan ini saya menyatakan sebagai institusi sosial di negara ini selain dariapda parti politik, UMNO memperjuangkan soal kemajmukan agama, kemajmukan pelbagai bangsa dan budaya serta bahasa di negara ini.

Tetapi teras utamanya terdapat di dalam Perlembagaan. Apakah kita dipanggil ekstremis kalau kita memperjuangkan apa yang terdapat di dalam Perlembagaan iaitu agama Islam, Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan bahasa Melayu. Kita tidak lari daripada itu walaupun kita adalah parti yang konservatif dan progresif.

Konservatif ertinya kita menggunakan acuan yang ada dengan tidak melupakan realiti kemajmukan di negara kita dan dalam keadaan itulah progresifnya kita tanpa kita mengenepikan lunas-lunas Perlembagaan dan juga tatasusila dan sistem sosial yang ada di negara kita.

4. Keteguhan prinsip dan idealisme merupakan akar tunjang kepada sesebuah perjuangan. Apakah prinsip dan idealisme UMNO harus berubah mengikut peredaran masa.

Peredarannya walaupun ada saranan agar UMNO dibuka kepada semua kaum saya fikir cadangan itu adalah cadangan terkedepan. Harus diketahui Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu adalah teras tetapi saya telah melihat statistik bahawa 82 peratus daripada  ahli UMNO memang terdiri daripada orang Melayu.

Namun kita ada Kadazan Dusun dan Murut (KDM). Ia merupakan kelompok kaum kedua terbesar sebagai ahli UMNO diikuti dengan Orang Asli, orang Siam dan pelbagai kumpulan etnik yang lain. Jadi ertinya kita tidak boleh lari daripada teras itu…namun  perjuangan kita tidak terhad kepada soal itu sahaja kerana di atas sana kita mempunyai Barisan Nasional.

BN terdiri daripada pelbagai parti termasuk parti yang berasaskan kepada kaum dan perjuangan kita dihalatuju kepada pembentukan dasar yang dilaksanakan melalui sistem payungan kepada parti yang bersifat  majmuk ini iaitu BN.

Parti ini dulu dikenali Perikatan dan tigas teras utama sahaja dari segi organisasi politiknya iaitu UMNO, MCA dan MIC. Tetapi suasana politik berubah.

Pada tahun 1974 kita menukar kepada BN kerana kita mahu mewujudkan ‘unity government’ pada ketika itu walaupun ada parti-parti politik lain yang tidak masuk BN atau selepas tiga tahun ada sebuah parti politik yang keluar daripada gagasan BN.

Tidak mustahil kini, kalau BN dijenamakan semula yang tidak menggunakan nama BN. Ini akan kita sarankan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN nanti supaya ahli-ahli teras itu dikekalkan.

Daripada 14 parti kini tinggal lima parti. Kita mempunyai parti-parti gabungan di bawahnya. Kita mempunyai parti yang bersahabat dengan kita maknanya ‘friendly party’ kepada entiti baru ini dan kita mesti melibatkan NGO dan kita juga mesti membuka peluang kepada mereka-mereka yang tidak suka kepada parti di atas ini tetapi bersetuju dengan penjenamaan baru ini untuk menjadi ‘direct membership’.

Inilah yang kita lakukan untuk BN tetapi  di dalam keadaan sedemikian realiti politiknya masyarakat majmuk di Malaysia mahukan sebuah parti yang beridentitikan kemajmukan.

Ini yang telah ada dan akan kita lakukan  dan di dalam keadaan ini adakah adil kalau UMNO itu mahu dirombak dan ditukarkan untuk  membuka kepada kaum lain sedangkan parti-parti daripada kaum lain pun ada di dalam tonggak BN yang akan kita jenamakan itu.

5. Dato‘ Seri dilihat antara pemimpin yang vokal bercakap tentang membela orang Melayu. Sejauh mana kenyataan ini.

Vokal atau lantang sangat subjektif bentuknya kerana saya telah sebutkan empat asas dalam perlembagaan tadi. Jadi adakah dengan vokalnya begitu untuk  memperjuangkan apa yang termaktub di dalam perlembagaan itu sebagai ‘ultra malay’.  Saya rasakan itu tidak adil diletakkan sebagai label kepada saya.

Tetapi kita harus akui hakikat bahawa kemajmukan masyarakat di negara ini dan dengan kepelbagaian yang telah saya sebutkan sebelum ini adalah asas kepada kewujudan sebuah negara yang stabil bukan hanya dari segi politik, sitem sosialnya tidak kita lupakan dengan struktur ekonominya dan dalam sistem pendidikan kita.

Mana mungkin sebuah negara yang meraikan kepelbagaian dan tidak ada had. Mana mungkin kemutlakan ini tidak dihormati kerana dulu menjadi pembangkang dan kini menjadi kerajaan atau dulu menjadi kerajaan dan kini pembangkang membangkang semua sekali  tanpa memberikan saranan.

Oleh yang demikian apa yang kita harus lakukan kita mesti bersikap pragmatik kerana parti politik itu ada dinamiknya. Dinamisme ini harus kita terjemahkan dalam beberapa langkah dan langkah-langkah itu tentunya ditangani dengan beberapa kaedah kebijaksanaan.

6. Apa yang perlu dilakukan oleh UMNO bagi memperkasa dan membina semula keyakinan rakyat terhadap parti hari ini.

Ya…kita tahu bahawa ada kejumudan yang berlaku…ada kelemahan dan ada kekurangan dan itu kita akui dengan sifat bahawa kita harus melakukan muhasabah. Tidak salah kalau kita mohon maaf bukan atas kecundangnya kita tetapi kekurangan undi dalam PRU (pilihan raya umum) yang lalu kerana kita telah dimomokkan dengan imej yang kotor dan pengundi-pengundi termakan dengan momokan itu.  Ini realiti politik yang harus kita hadapi.

Maka kita jangan lagi menoleh ke belakang tetapi memandang serta bergerak ke depan untuk memperbetulkan kesilapan kita. Pada waktu yang sama kita juga perlu menangkis tohmahan serta kebencian yang ditanam terlalu menebal hingga pengundi terbabas daripada memberikan sokongan.

Oleh yang demikian saya merasakan bahawa ucapan dasar nanti akan menggariskan hala tuju itu dan saya harap langkah-langkah yang saya bentangkan ini akan difahami dengan teliti setiap perwakilan dan juga kepimpinan yang berada di atas pentas serta ahli seluruhnya.

7.Menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2018,  terdapat beberapa pemimpin UMNO dan Ahli Parlimen keluar daripada parti. Apakah yang boleh dikongsikan serta mesej  Dato‘ Seri berhubung soal ini.    

Mereka tidak ada daya tahan kerana dulu ada jawatan dalam kerajaan atau sebagai ahli parlimen dalam kerajaan mereka mendapat pelbagai peruntukan. Dan mereka mendapat perbelanjaan daripada Perdana Menteri yang menjadi Presiden UMNO pada ketika itu.

Apabila daya tahan tidak ada, mereka mencari alasan kononnya parti tidak ada hala tuju, kononnya presiden bisu tetapi kelemahan pada diri mereka tidak nyatakan. Kalau ada daya tahan mereka mesti bersama parti dan kita sama-sama bina bukan lari daripada masalah.

Ertinya mereka adalah terdiri daripada orang yang kecut untuk menghadapi masalah. Saya tidak mengatakan mereka dayus tetapi mereka tidak ada daya tahan.

Apa salahnya kita hadapi bersama permasalahan ini. Ada parti politik yang berada di dalam kerajaan sekarang 20 tahun menghadapi kesengsaraan politik, mereka sekarang kerajaan. Ada yang menghadapi permasalahan selama 40 tahun sebagai parti pembangkang akhirnya mereka membentuk kerajaan negeri dan mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan hari ini.

Jika ada individu dalam politik pembangkang yang menjadi serpihan dan sekarang menjadi menteri mereka telah mengalami ujian. Paling kurang 30 tahun kerana mereka ada daya tahan. Dulu sebahagian pemimpin kita di dalam UMNO apabila tersingkir daripada UMNO mereka juga mempunyai daya tahan. Selama dua atau tiga tahun mereka diheret, disiasat tetapi oleh kerana ada daya tahan mereka menjadi kerajaan.

Kita ‘government in waiting…’ kita kerajaan yang menanti. Kita menjadi pembangkang bukannya empat tahun…baru empat bulan…daya tahan ini kenapa terhakis terlalu cepat. Kalau dulu mereka menjadi pemimpin UMNO akan berjuang di dalam UMNO hingga ke titisan darah terakhir tetapi tidak satu titik darah pun yang jatuh…tetapi kenapa lari.

Ertinya daya tahan tidak ada. Oleh yang demikian mereka yang terus berada di dalam UMNO ada dua kategori. Satunya ahli UMNO dan satu lagi orang UMNO. Orang UMNO tidak akan pernah meninggalkan UMNO. Ahli UMNO akan meninggalkan UMNO kerana mungkin mereka masuk UMNO atas kepentingan peribadi atau habuan yang menanti atau atas jawatan yang mereka mahu rebut. Itu akan lari. Tetapi hanya yang berdaya tahan sahaja yang akan terus dan taat dalam UMNO.

8. Apakah soal daya tahan dan sebagainya lagi akan diperkatakan pada ucapan dasar nanti.

Tidak adil bagi saya untuk menyatakan apakah isi kandungan ucapan saya sekarang. Tunggu 29 haribulan dan jurucakap negeri perbahaskanlah dan saya pasti akan menggariskan hala tuju parti kita.

Saya mahu supaya bukan sahaja perwakilan malah ahli-ahli UMNO dan rakyat keseluruhannya mengikuti ucapan saya dan meneliti bagaimanakah UMNO itu harus terus relevan dengan memperjuangkan isu-isu rakyat dan saya mahu UMNO menjadi juaranya…juara kepada perjuangan rakyat…isu-isu di mana manifesto tidak dapat dilaksanakan yang mana perubahan yang lebih baik tidak dilakukan.

Yang berlaku adalah ‘blame game’ sahaja dan cukuplah sikap mereka sebagai pembangkang dahulu dan mereka adalah kerajaan. Mereka mesti lakukan apa yang mereka cita-citakan di dalam pelaksanaan sebagai kerajaan bukan menyalahkan 100 peratus kepada apa yang telah dilakukan.

Ya…kita ada kelemahan dan perbaikilah kelemahan itu kalau mereka mahu menjadi kerajaan yang baik dan sebarang perubahan yang baik kita akan sokong walaupun pembangkang demi kepentingan rakyat..demi kepentingan agama kita…demi kepentingan bangsa kita tanpa kita ketepikan agama dan bangsa lain dan ini menjadi pegangan kepada saya.

9. Kerjasama antara UMNO dengan Pas. Apakah matlamat serta hasil dan kesannya kepada parti dan rakyat keseluruhannya.

Kebersamaan kita dengan Pas adalah dalam gagasan pembangkang. Ini harus difahami oleh rakan-rakan dalam BN. Pas adalah pembangkang dari dahulu hingga sekarang dan inilah pertama kali kita menjadi pembangkang, saya fikir Pas cukup selesa untuk bekerjasama dengan kita dan kita juga sangat selesa bekerjasama dengan mereka kerana isu dan perjuangan  mereka adalah sama. Isu yang merakyat menjadi tonggak kepada gagasan pembangkang ini.

Kenapa apabila Pas bekerjasama dengan Dap dulu di dalam pakatan pembangkang atau bekerjasama dengan PKR atau bekerjasama dengan parti ketika dahulu persoalan itu tidak timbul kerana mereka juga pembangkang. Kini kita pembangkang dan Pas juga adalah pembangkang.

Jadi kenapa berlaku kerisaun di kalangan parti-parti komponen dan ini saya telah perjelaskan kepada pemimpin rakan-rakan komponen BN. Malah saya jelaskan kepada ahli-ahli UMNO keseluruhannya kalau kita boleh bekerja bersama dengan parti-parti yang pelbagai kaum kenapa tidak kepada parti yang berasaskan Islam dan kemelayuan. Adakah kita dianggap sebagai rasis kalau bekerjasama dengan Pas.

Pas telah berubah…Pas mempunyai pandangan supaya politik matang itu dilaksanakan kepimpinannya dan kita menghargai perubahan di dalam Pas dan Pas adalah parti yang progresif mempunyai slogan Islam memimpin.

Itu pegangan mereka tetapi pada waktu yang sama kita harus juga menentukan bahawa gagasan pembangkang ini harus kuat dan kita tidak harus berbeda di kalangan parti pembangkang.

10. Sebagai Presiden UMNO, Dato‘ Seri ingin dilihat sebagai presiden parti daripada sudut mana.

Saya mempunyai prinsip yang sama dengan kepimpinan-kepimpinan yang terdahulu tetapi tentunya saya mempunyai pendekatan dan gaya kepimpinan yang berbeda kerana daripada dahulu hingga sekarang saya lakukan ‘engagement’ dengan rakan-rakan saya di dalam saf kepimpinan.

Dan saya amat-amat yakin di peringkat negeri kaedah yang sama harus dilakukan. Jangan ada sifat untuk merendahkan lain. Begitu juga kepimpinan di peringkat bahagian-bahagian dan juga  cawangan-cawangan.

Jangan menzalimi atau menganiayai orang-orang yang tidak bersetuju dengan kita. Kita harus meraikan perbezaan pendapat dan pada waktu yang sama mereka yang berbeda pendapat apabila keputusan telah diberikan harus memberi dokongan kepada keputusan itu bukan menyanggah daripada belakang dan bukan memberikan kritikan.

Jika ditakdirkan mereka menjadi pemimpin satu hari nanti, apa perasaan mereka jika dikritik kerana tidak sependapat. Tidak semestinya pendapat seseorang pemimpin itu semua benar. Pendekatan inilah yang saya lakukan dan ini harus harus difahami oleh semua pihak kerana kita mempunyai prinsip iaitu UMNO harus terus relevan di dalam landskap politik.

Kita tidak mahu UMNO dikuburkan tanpa batu nesan. Kita tidak mahu UMNO dibubarkan…kita tidak mahu UMNO ini diarkib negarakan sebagai dokumen sejarah sahaja. Dalam hal inilah kita harus bersama-sama.

11. UMNO mesti terus relevan namun pada masa yang tohmahan sering dilontarkan kononnya UMNO parti usang dan tidak mesra kepada golongan muda.

Usangnya sesebuah parti…bagaimana dengan parti Konservatif di United Kingdom.  Bagaimana dengan Labour Party di United Kingdom yang usianya lebih lama daripada UMNO. Bagaimana dengan Republican dan Democrat…bagaimana dengan Communist Party of China…parti itu lama tetapi bukan dipimpin oleh orang yang sama.

Ertinya pemimpin datang dan pergi. Ianya berubah kerana kita adalah dinamik. Dalam hal demikian kita harus melihat bahawa peremajaan parti itu dilakukan setiap kali pemilihan.

Saya ambil contoh di dalam pergerakan Pemuda, 95 peratus Ketua-Ketua Pemuda bahagian adalah terdiri daripada pemimpin-pemimpin baru. Malah dalam Majlis Tertinggi kita harus lihat berapa ramai pemimpin muda yang diketengahkan dan menang di dalam MT.

Begitu juga di dalam Wanita UMNO yang dipimpin oleh muka-muka baru. Bagaimana pula dengan Puteri UMNO. Adakah ini bukan satu proses peremajaan.

Kita tidak harus melakukan perkara ini secara drastik sebab kita progres dan pemimpin lama akan keluar. Tidak ada pemimpin lama yang akan menongkat langit dalam perkara ini.

Saya fikir UMNO harus diremajakan bukan hanya dengan mereka yang berada di bawah umur tetapi pemikiran pemimpin biarpun usianya berada dalam enam siri atau lima siri tetapi mindanya progresif.

Yang penting ada keikhlasan untuk kita terus menghidupkan UMNO dan bukannya mengambil peluang untuk terjun ke tempat lain apabila UMNO di dalam kepayahan atau mencari peluang tempat lain yang belum tentu. Umpama mendengar guruh di langit air tempayan dicurahkan.

Kita harapkan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari kalau mereka membuat pilihan yang salah. Kita istiqamah duduk di dalam UMNO dan kita sama-sama hidupkan parti dan pastikan UMNO is the ‘government in waiting’. – Media UMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.