Najib Dedah Dokumen Dana Dari Arab Saudi, Bukti Isu RM2.6 Bilion Hanya Fitnah Pakatan Harapan

KUALA LUMPUR, 11 Sept – Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau akan terus mendedahkan dokumen-dokumen berhubung tentang dana derma yang beliau perolehi, termasuk dana RM2.6 bilion yang dijadikan sebagai modal fitnah Pakatan Harapan, kononnya dana itu dicuri daripada syarikat 1MDB.

Menurut beliau, sememangnya Raja Abdullah meminta beliau untuk tidak memberitahu umum tentang dana derma tersebut, namun hari ini beliau tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan Raja Abdullah juga telah mangkat, maka beliau akan mendedahkan segala dokumen berhubung dana derma tersebut untuk pengetahuan umum.

“Memandangkan saya bukan lagi Perdana Menteri dan Raja Abdullah telah mangkat (Al-Fatihah), saya rasa adalah bersesuaian untuk saya dedahkan dokumen berikut bagi membersihkan nama saya dari pelbagai tuduhan dan fitnah.

“Saya bersama peguam mengambil masa yang agak lama untuk memperolehi dokumen ini daripada bank namun kami berjaya mendapatkan sebahagian besar darinya. Dokumen berikut adalah bagi sumbangan tahun 2011 sahaja. Pihak berkuasa dan bank ada dokumen yang sama”, jelasnya melalui facebook rasmi beliau, Najib Razak semalam.

Jelas Najib lagi salinan surat-surat ini turut dilampirkan bersama dana yang dipindahkan ke akaun beliau di Ambank bagi tempoh  beberapa tahun.

“Sama ada BNM mahupun bank berkenaan tidak pernah mempersoal atau menyatakan kebimbangan terhadap sumbangan ini, kerana ia turut dilampirkan dengan surat pengesahan.

“Sebab itu, Kementerian Luar Arab Saudi sudah dua kali mengesahkan secara terbuka bahawa kerajaan mereka memberi sumbangan kepada saya tanpa sebarang syarat terhadapnya,” katanya.

Tambah beliau, dana derma tersebut diberikan atas rasa bimbang Raja Abdullah apabila mendapat tahu bahawa ada kemungkinan berlakunya Malaysia Spring kerana Malaysia juga merupakan sebuah negara Islam biarpun bukan negara di Timur Tengah atau Afrika.

“Ini berlaku selepas Kebangkitan Arab atau Arab Spring pada lewat 2010 di kalangan negara Islam di Timur Tengah dan Afrika termasuk negara sekutu Arab Saudi”, ujarnya.

Almarhum Raja Abdullah jelas Najib sangat bimbang ketika itu dan bertindak membiayai pemimpin dan kerajaan negara Islam dengan sejumlah wang yang banyak bagi mengekalkan kestabilan.

“Pada masa itu, harga minyak paling tinggi dan Arab Saudi memperoleh pendapatan yang banyak hasil darinya.

“Baginda juga mempunyai kebimbangan yang sama selepas mendapat tahu kemungkinan berlaku Malaysia Spring pada ketika itu kerana Malaysia juga negara Islam biarpun bukan berada di Timur Tengah atau Afrika.

“Lantaran kebimbangan dan hubungan akrab kami, pada awal 2011, baginda berjanji untuk turut menyediakan dana kepada saya dan parti bagi kegunaan di Malaysia. Seperti kain kiswah dan kuota haji tambahan, sumbangan ini juga tidak mahu dihebahkan. Terdapat beberapa orang saksi pada masa itu ketika janji ini disampaikan,” jelas Najib lagi.

Justeru, beliau akan mendedahkan lagi dokumen-dokumen berhubung dana derma yang diberikan oleh Raja Saudi itu termasuk dana RM2. Bilion sebagai bukti bahawa segala apa yang dicanangkan oleh Pakatan Harapan itu adalah semata-mata satu fitnah untuk menjatuhkan UMNO dan kerajaan Barisan Nasional.

“Pada status FB akan datang atau melalui temuramah dengan media di mana saya dapat menjelaskan dengan lebih terperinci sambil menunjukkan bukti tentang perkara ini, di mana saya juga akan menjelaskan mengenai sumbangan yang saya terima bagi tahun-tahun selepas 2011  termasuk isu RM2.6 billion itu,” ujarnya.-MediaUMNO