Dr Maszlee Perlu Kotakan Janji Untuk Tidak Campuri Urusan Universiti – Dr Asraf Wajdi

KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asraf Wajdi Dusuki meminta Menteri Pelajaran Malaysia, Dr Maszlee Malik untuk menotakan janji dalam tekadnya sebelum ini untuk tidak mencampuri urusan pentadbiran universiti.

Katanya, beliau menghormati kebolehan Dr Maszlee untuk memegang jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) namun rakyat pastinya menagih janjinya sebelum ini.

“Yang membuat kami terkejut apabila YB menerima jawatan Presiden UIA, pada masa sama Setiausaha Politik YB pula dilantik Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Persatuan Staf Akademik UIAM mengucapkan tahniah kepada Maszlee atas pelantikannya sebagai presiden universiti itu di halaman Facebook rasminya

Dalam hal ini, Dr Asraf Wajdi turut memetik kenyataan Dr Maszlee dalam satu temuramah bertarikh 7 Jun 2018:
“This is a new era. I will make sure that the Pakatan Harapan (PH) government will never misuse universities for political interests… this includes me.”
(“Ini merupakan era baru. Saya akan pastikan Kerajaan Pakatan Harapan tidak akan sampai bila-bila memperalatkan universiti untuk kepentingan politik…ini termasuk diri saya”)

Justeru beliau menggesa agar Dr Maszlee mengotakan janjinya.

“Kotakan janji YB. Lantiklah tokoh cendekiawan yang dihormati rakyat untuk mengemudi universiti dalam era Kerajaan Baru ini,” tegasnya.

Sebelum ini, Pakatan Harapan, dalam manifesto pilihan raya ke-14 lalu, berjanji untuk memulihkan kebebasan akademik di institusi pengajian tinggi. – MediaUMNO