Di PRK Seri Setia Perlihat UMNO Dan Pas Boleh Jadi Satu Pasukan – Dr Shamsul Anuar


KUALA LUMPUR, 5 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menjadi saksi bahawa dakwaan kononnya UMNO dan Pas tidak boleh bekerjasama adalah tidak benar dan ia sebenarnya hanyalah polemik yang dimainkan oleh mereka yang ‘takut’ akan hubungan baik kedua-dua parti itu.

Jelas beliau, PRK Seri Setia ini juga memperlihatkan bahawa UMNO dan Pas kini mula boleh menjadi satu pasukan dan ia diterjemahkan dalam gerak kerja di akar umbi.

“Sebenarnya ini adalah satu isyarat bahawa kerjasama antara ke dua-dua parti ini boleh pergi lebih jauh. Kita dapat lihat banyak perubahan berbanding PRK di Sungai Kandis. Kita sudah boleh berceramah bersama dan melaksanakan pelbagai program lain.

“Kerjasama ini juga menjawab persoalan yang menyebut kononnya Pas tidak boleh bekerjasama dengan UMNO. Ia sebenarnya dibuat oleh mereka yang mula melihat kerjasama ini sebagai satu ancaman kepada mereka,” jelas beliau kepada media selepas program tautan kasih di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Bagi Penyelaras Zon Dua parti Pas, Haji Ghazali Daud, walaupun kerjasama antara UMNO dan Pas bermula agak berlahan di Sungai Kandis tetapi di PRK Seri Setia, ianya ternyata berbeza.

“Di sini kita agak rapat. Untuk makluman, Pas di sini dibantu oleh Pas dari seluruh negeri Selangor dan negeri-negeri lain. Bila ada ceramah yang melibatkan dari UMNO kita semua turun bersama dan ia mendapat sambutan yang baik.

“Jadi kalau ada kata-kata yang menampakkan tidak ada beza kerjasama antara UMNO dan Pas sebenarnya ia bukan dari kita. Ia dibuat hanya untuk kita melihat kita berlaga,” katanya. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.