UMNO Parti Politik Pertama Buka Ruang Kaum Wanita Terlibat Dalam Pembangunan Negara


KUALA LUMPUR, 4 Sept – Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau UMNO merupakan parti politik Melayu yang pertama memberikan ruang dan peluang kepada suara kaum wanita untuk memberikan sumbangan tenaga dan buah fikiran dalam konteks politik dan pembangunan di negara ini, demikian menurut pakar sejarah negara, Datuk Dr. Ramlah Adam.

Menurut beliau, bagi memberikan ruang dan peluang kepada kaum wanita untuk memberikan sumbangan kepada kemerdekaan negara ketika itu, maka telah diwujudkan Jabatan Kaum Ibu, kemudiannya bertukar nama kepada Pergerakan Wanita UMNO.

“Parti yang pertama yang memberikan ruang suara kepada kaum wanita adalah UMNO. Ini adalah fakta sejarah. Sebab itulah, UMNO mewujudkan Jabatan Kaum Ibu, kemudiannya ditukarkan nama kepada Pergerakan Wanita UMNO dan selepas merdeka di sekitar tahun 90-an pula, diwujudkan sayap Pergerakan Puteri UMNO.

“Bagi saya, ini semua menunjukkan, UMNO adalah sebuah parti yang telah memberikan ruang kepada kaum wanita untuk memainkan peranan yang penting dalam pembetukan negara. UMNO juga telah memberikan kedudukan yang baik kepada kaum wanita di dalam perkhidmatan kerajaan.

“Jadi jika bercakap soal apakah sumbangan parti politik, terutamanya UMNO pada masa dahulu yang telah membuat dasar-dasar untuk kaum wanita, yang pertama sekali adalah peluang pekerjaan dan pendidikan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam program Diskusi U3.0 yang membawa tajuk ‘Wanita Dalam Merdeka Dan Cabaran Hari Ini’ dengan menampilkan Adnan Seman sebagai moderator, yang disiarkan melalui medium facebook rasmi UMNO Online.

Jelas beliau, ruang dan peluang yang diberikan oleh UMNO membuktikan bahawa ketika itu sudah timbul kesedaran di kalangan kepimpinan Melayu untuk memberikan peluang kepada kaum wanita dari sudut pendidikan dan pekerjaan.

“Ibu Zain, merupakan wanita UMNO Johor yang pertama menubuhkan sekolah untuk wanita. Begitu juga ibu Azizah Jaafar, iaitu adik kepada pengasas UMNO, Datuk Onn Jaafar. Ketika itu, negeri Johor memang memberikan ruang kepada wanita untuk belajar berbanding dengan negeri-negeri lain pada ketika itu.

“Ini kerana pada ketika itu, kaum wanita dilihat sebagai satu anggota masyarakat yang tidak perlu ke sekolah. Kaum wanita ketika itu dianggap hanya layak untuk menjadi isteri, menjaga rumahtangga, tetapi apabila kita merdeka, kesedaran untuk memajukan pelajaran kaum wanita itu menjadi satu kesedaran masyarakat yang meluas.

“Sebab itu kita dapati, anak-anak perempuan mula diberikan peluang untuk belajar di sekolah-sekolah. Ini sebenarnya satu usaha untuk memajukan anak-anak bangsa yang bermula sejak tahun 30-an lagi.

Tegasnya, pembangunan negara seperti yang dikecapi oleh rakyat hari ini tidak boleh menjadi secara tiba-tiba, tetapi ia mestilah melalui perancangan besar, yang berterusan, perlu ada idea-idea bagaimana untuk memajukan bangsa Melayu.

“Inilah sebenarnya peranan yang dimainkan oleh tokoh-tokoh wanita di dalam parti politik yang awal untuk mendesak kerajaan untuk membuat dasar-dasar untuk kaum wanita, misalnya dasar pendidikan yang sama rata, kemudiannya dasar gaji yang sama rata untuk pekerjaan yang sama. Dasar untuk mendapatkan biasiswa tanpa mengira gender.

“Jadi bagi saya, peranan tokoh-tokoh wanita seperti Datuk Halimaton Majid, Ibu Zein, Tan Sri Fatimah Hashim, Tan Sri Aisyah Ghani merupakan perintis yang awal yang meminta kerajaan memberikan kedudukan yang sama terhadap golongan wanita.

“Dengan adanya pendidikan yang baik, maka mereka boleh memajukan diri. Mereka bukan sahaja boleh memajukan diri mereka sendiri, bahkan kaum wanita boleh memberikan sumbangan kepada pembinaan negara ini,”katanya.

Ruang dan peluang yang diberikan oleh kepimpinan Melayu, khususnya UMNO kepada kaum wanita ini jelas Ramlah, merupakan satu lambang kemerdekaan buat golongan ini di mana mereka tidak lagi semata-mata hanya perlu bergantung kepada suami,bergantung kepada ibu bapa dan mampu berdikari sendiri.

“Dan hasil daripada perjuangan tokoh-tokoh wanita tersebut, akhirnya pada hari ini saya rasa wanita Malaysia sangat beruntung kerana mereka sentiasa diberikan layanan yang baik, dan suara kaum wanita juga diambil kira dalam membuat dasar dan keputusan-keputusan kerajaan dalam menentukan hala tuju negara.

“Perkara ini amat berbeza jika mahu dibandingkan dengan kaum wanita di negara-negara lain seperti di Amerika Syarikat  dan dunia barat di mana kaum wanita terpaksa mendesak untuk mendapat hak-hak tersebut,” jelasnya lagi.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.