Tanpa Sebarang Penjelasan… Pembebasan Guan Eng Satu Malapetaka Undang-Undang 

KUALA LUMPUR, 4 Sept – Keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam yang melepaskan dan membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot banglo dan tuduhan bersubahat terus menimbulkan pelbagai reaksi daripada pandangan pihak luar.

Kali ini, Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Afriz Mohd Noor turut berpandangan keputusan pembebasan itu juga secara tidak langsung telah mengheret malah mencemar institusi kehakiman negara dan ianya merupakan satu malapetaka kepada undang-undang negara sekiranya tidak diberikan penjelasan secara terperinci mengenainya.

“Rakyat khususnya telah melihat bagaimana hubung kait proses pembelian banglo di bawah harga pasaran itu dengan kedudukan Lim Guan Eng dan juga pemilik banglo Phang Li Koon dan sudah tentu keputusan pembebasan ini bakal menyebabkan timbulnya keresahan serta persoalan apakah ada pihak-pihak tertentu telah campur tangan sehingga keputusan sebegini dibuat?

“Selain daripada itu, atas dasar apakah Pejabat Peguam Negara menarik balik kes terbabit. Saya melihat isu membabitkan pertuduhan rasuah ini adalah satu pertuduhan yang amat berat dan sepertimana diperkatakan oleh pelbagai pihak penjelasan mengenainya wajar diberikan,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Hadhariah Syed Ismail, membuat keputusan setelah pihak pendakwaan bersetuju menarik semula semua pertuduhan terhadap Guan Eng.

Pada 6 Julai lalu, kedua-dua mereka telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara.

Kata Afriz kes membabitkan pertuduhan rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang dalam isu pembelian lot banglo di Jalan Pirnhorn Pulau Pinang sudah pun sampai ke klimaknya.

Sehubungan itu katanya lagi pelbagai persoalan dan perkara berkaitan dengan kes berkenaan adalah perlu diberikan tumpuan oleh pihak yang berkenaan agar mereka-mereka yang terkejut tidak lagi terkejut selepas ini.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.