Mana ‘Rule Of Law’ Yang Diagung-Agungkan Kerajaan PH?


KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal Mohd Norhiesam Ismail mempertikaikan ‘rule of law’ yang selama ini diagung-agungkan oleh kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, sejak PH mengambil alih tampuk pimpinan negara selepas berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, tidak ada satu pun perkara yang menunjukkan kepimpinan mereka telus dan jujur dan ini makin terbukti apabila Peguan Negara menarik balik pertuduhan ke atas Lim Guan Eng berhubung isu rasuah pembelian sebuah banglo di Pulau Pinang.

“Pemuda UMNO Nibong Tebal merasakan perkara ini adalah perkara paling sedih kepada sistem kehakiman negara kerana ia seolah-olah ‘dirompak’ dan tindakan Peguam Negara Tommy Thomas menggugurkan kes rasuah bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu ternyata satu tamparan hebat bagi sistem perundangan negara ini.

“Rakyat kini dapat melihat dengan jelas bagaimana kerajaan baru hari ini ‘menghancurkan’ sistem keadilan negara. Manakan tidak, kes melibatkan mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak disiasat sehingga ke tulang hitam. Walaupun tiada bukti beliau tetap diheret ke muka pengadilan tetapi kes melibatkan Guan Eng pula begitu mudah digugurkan secara veto oleh Peguam Negara.

“Kenapa perlu takut? Benar atau salah biarlah mahkamah yang menentukan,” ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Jelas Norhiesam, sebab itulah ramai yang menentang pelantikan Tommy Thomas sebagai Peguam Negara kerana rakyat sudah dapat mengagak permainan yang akan dimainkan oleh kerajaan baru.

Justeru, Pemuda UMNO Nibong Tebal hari ini menggesa agar pihak SPRM menubuhkan badan siasatan dengan segera bagi menyiasat salah guna kuasa oleh Peguam Negara ini.

“Sudah pasti wujud tangan-tangan ghaib yang menyuruh beliau berbuat demikian dan lebih memeranjatkan apabila SPRM juga mengeluarkan kenyataan bahawa terkejut dengan keputusan tersebut. Ini menunjukkan seakan ‘ada yang tak kena’ dengan keputusan ini.

“Pemuda UMNO Nibong Tebal juga mencadangkan agar diwujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat isu ini demi kebenaran. Memandangkan Guan Eng merupakan pemimpin kanan negara maka siasatan perlu dipercepatkan bagi mengambarkan imej negara dan kerajaan yang lebih telus.

“Jika dulu mereka menuduh BN mengawal sistem kehakiman dan pentadbiran BN penuh dengan ketidakadilan, kini apabila mereka menjadi pemerintah, adakah ini dinamakan keadilan dan ketelusan? Adakah Malaysia baru akan kembali kepada undang-undang rimba,” bidas beliau seterusnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.