‘KWSP : RM40 Untuk Isteri’ Jadi Topik Dalam Diskusi 100 Hari PH Tipu Malam Ini
KUALA LUMPUR, 4 Sept – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad bakal mengupas topik ‘KWSP : RM40 Untuk Isteri’ yang tentunya selari dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi membela nasib golongan wanita.
Beliau akan melontarkan hujah dan idea berkaitan hal ini dengan mengaitkan kepada hal-hal kepentingan kaum wanita dan masyarakat umum menerusi Diskusi 100 Hari PH Tipu malam ini yang boleh diikuti melalui wadah UMNO di facebook rasmi UMNO-Online.
Program bual bicara yang akan bersiaran pada pukul 9.00 malam ini akan dihoskan oleh Adnan Seman.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya warga media sosial dijemput untuk bersama-sama mengikuti pandangan kepimpinan Wanita UMNO ini di samping dapat melontarkan idea atau bertanya soalan dan berkongsi pendapat melalui ruangan komen yang disediakan.
Dalam Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH telah menabur janji untuk memperkenalkan bayaran KWSP kepada suri rumah di negara ini. – MediaUMNO