SST: Kerajaan PH Terus Khianati Rakyat – Pemuda Pahang


RAUB, 2 Sept – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang melihat pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang kembali dipraktikkan bermula semalam telah menimbulkan rasa kecewa dan tidak puas hati di kalangan rakyat di seluruh negara di mana majoriti beranggapan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengkhianati rakyat.

Tegas Ketua Penerangannya Fadzli Mohamad Kamal, ini kerana sebelum ini rakyat dimomokkan dengan jaminan PH kononnya SST lebih baik daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan mampu menyebabkan penurunan harga barang dan perkhidmatan.

“Namun, apa yang berlaku semalam pada hari pertama pelaksanaan SST adalah sebaliknya. Kebanyakan harga barang dan perkhidmatan menjadi lebih mahal daripada sebelumnya seperti ‘prepaid’ dan harga kereta yang dikenakan SST antara 5% hingga 10%. Juga harga makanan dan minuman di restoran dan kedai makan.

“Ternyata pelaksanaan SST begitu tergesa-gesa tanpa kajian terperinci. Walaupun diletak pada kadar antara 5% hingga 10%, amat ketara kebanyakan barang keperluan asas dan tidak asas tetap dikenakan pada kadar yang sama iaitu 10%. Berus gigi kegunaan harian, air kotak teh bunga minuman rakyat kebanyakan dan ‘water colour’ kegunaan para pelajar dikenakan 10% sama dengan arak,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Tambah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Raub itu lagi, menteri kewangan ada memaklumkan bahawa Kerajaan PH hanya akan menyemak semula kadar peratusan dan senarai barangan ini pada penghujung tahun.

“Ini bermakna, ‘laksana dulu semak kemudian’. Kesannya biar rakyat yang tanggung.

“Tiada satu negara pun dalam dunia ini yang sudah laksanakan GST berpatah balik kepada SST. Hanya disebabkan kerakusan politik, mereka gula-gulakan rakyat dengan janji palsu hapuskan GST untuk turunkan harga,” bidasnya.

Jelasnya lagi, SST sangat tidak efektif berbanding GST kerana memberi kesempatan kepada para peniaga untuk ‘lari daripada cukai’.

“Ini kerana peniaga boleh memanipulasi pendapatan semasa membuat taksiran kewangan yang dihantar kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Selain itu, sistem SST juga kurang telus kerana pengguna tidak tahu berapa harga asal sesuatu barang. Berbanding dengan GST, memang telah dicetak berapa nilai cukai yang dikenakan. Malah, kita tahu barang mana yang kena cukai dan barang mana yang ‘zero rate’,” katanya.

Justeru ujarnya, semalam membawa ke hari ini dan hari-hari berikutnya akan menyaksikan suara-suara ketidakpuasan hati rakyat di mana-mana termasuk di laman sosial.

“Malah, ramai yang menyatakan hasrat untuk turun berdemonstrasi bagi meluahkan rasa kecewa tersebut akibat dikhianati Kerajaan PH,” tegasnya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.