Perhimpunan Melayu Bangkit Bakal Menjelajah Ke Seluruh Negara – Tajuddin


PASIR SALAK, 2 Sept– Perhimpunan Melayu Bangkit yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian  Pasir Salak semalam berkemungkinan akan turut diadakan di negeri-negeri lain berdasarkan sambutan memberansangkan yang diperlihatkan  oleh rakyat, khususnya orang Melayu di Kampung Gajah, Pasir Salak semalam.

Menurut Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman, ini adalah berdasarkan permintaan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Dr Asyraf Wajdi dan lain-lain yang turut hadir di dalam perhimpunan tersebut semalam.

“InsyaAllah perhimpunan yang dicetuskan oleh UMNO Bahagian Pasir Salak ini akan dilanjutkan ke negeri-negeri lain sebagai satu tanda kebangkitan orang-orang Melayu untuk menyatakan bantahan terhadap cubaan untuk mencabul hak-hak istimewa orang Melayu dan juga penghinaan golongan tertentu terhadap agama Islam yang berlaku di dalam pentadbiran kerajaan hari ini.

“Sepertimana yang dapat kita saksikan semalam, lebih 10 ribu orang-orang Melayu yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan fahaman politik berhimpun untuk memperlihatkan sokongan terhadap perhimpunan ini yang bertujuan menyatakan bantahan terhadap isu-isu hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang cuba diperlekehkan oleh sesetengah pihak yang semakin menjadi-jadi sejak mutakhir ini.

“Alhamdulillah, himpunan Melayu Bangkit yang diusahakan oleh UMNO Bahagian Pasir Salak berjaya mencapai matlamat untuk membangkitkan semangat orang-orang Melayu dalam menentang segala usaha untuk mempertikaikan hak-hak orang Melayu serta penghinaan terhadap Islam oleh pihak tertentu yang kini semakin melampau di  bawah pentadbiran kerajaan baru,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Tajuddin turut membidas dakwaan sesetengah pihak bahawa himpunan Melayu Bangkit ini adalah himpunan yang berbaur rasis dan perkauman.

“Apa yang kita bantah dalam perhimpunan ini adalah sesuatu yang terkandung di dalam perlembagaan negara seperti Bahasa Melayu bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama persekutuan dan hak-hak istimewa orang Melayu.

“Apakah apabila kita mempertahankan perkara-perkara yang termaktub di dalam perlembagaan ini dianggap sebagai rasis? Bagaimana pula dengan sesetengah pihak yang membuat tuntutan yang bukan-bukan terhadap hak-hak istimewa orang Melayu, mengusik dan mmperlekehkan Islam itu tidak rasis?

“Kita bukan mengajak orang-orang Melayu untuk membenci kaum-kaum lain. Tetapi kita mahu memberikan amaran dan peringatan kepada sesetengah pihak, terutama kerajaan agar jangan sesekali mempertikaikan Islam sebagai agama persekutuan, hak-hak istimewa orang Melayu  dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan Melayu Islam yang terkandung di dalam perlembagaan seperti yang berlaku hari ini,” tegasnya.

Semalam, Himpunan Melayu Bangkit berjaya menarik lebih daripada 10 ribu hadirin yang terdiri daripada orang-orang Melayu termasuk daripada beberapa buah negeri seperti Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan beberapa buah negeri lain.

Antara pemimpin-pemimpin UMNO yang hadir memberikan ceramah di dalam program tersebut Ahli Parlimen Pasir Salak yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Rahman, Presiden Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam,  Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Turut ditayangkan video kisah perjuangan Leftenan Adnan sebagai salah satu ikon perjuangan bangsa Melayu serta deklamasi sajak mengenai nasib orang Melayu dan kisah pejuang-pejuang Melayu menentang penjajah British ketika zaman pra merdeka sebelum ini.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.