Kerjasama UMNO – Pas… Ketepikan Faktor Emosi, Lihat Isu Mata Lebam

KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, penyatuan di antara UMNO dan Pas agak sukar dilaksanakan di  dalam konteks politik hanyalah kerana faktor emosi yang mempengaruhi ahli, pemimpin dan penyokong di kedua-dua buah parti.

Menurutnya, UMNO dan Pas mesti meletakkan faktor emosi di belakang bagi menjalinkan kerjasama politik yang dapat memberikan manfaat kepada Islam dan bangsa Melayu di negara ini.

“Kita semua sedia maklum, sejarah pertentangan UMNO dan Pas ini berlaku sejak tahun 1951 lagi.  Saya tak baik dengan dia kerana mak saya tidak baik dengan maknya, dan atuk saya tidak baik dengan atuknya, jadi tak mungkin saya boleh baik dengannya. Ini adalah faktor emosi.

“Kadang-kadang kita diajar tidak boleh menerima mazhab lain kerana sejarah dulu. Kita diajar perkara ini, tidak boleh menerima mazhab ini kerana bukan soal yang mendalam, tetapi cerita-cerita yang telah ditanam di dalam kepala kita.

“Jadi, faktor emosi inilah yang menjadi halangan dalam usaha kerjasama UMNO dan Pas. Ia mudah diterima di kalangan pemimpin, tetapi sukar untuk diresapi ke bawah di kalangan pengikut-pengikut yang sudah lama dipisahkan oleh benteng emosi seperti yang saya sebutkan tadi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Diskusi U3.0 yang bersiaran langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online yang membawa tajuk ‘Erti Kemerdekaan’.

Tambah Shabery, antara kelebihan yang ada di dalam Pakatan Harapan adalah kerana mereka mampu untuk mengenepikan faktor emosi untuk mengikat kejayaan mereka bekerjasama untuk memenangi PRU ke 14 baru-baru ini.

“Mungkin kelebihan yang ada pada Pakatan Harapan adalah mereka sanggup untuk mengenepikan soal-soal halangan emosi. Siapa sangka orang yang menyebabkan mata lebam, akhirnya menggunakan logo mata lebam itulah sebagai batu loncatan untuknya.

“Jadi jelas, ia merupakan satu aspek yang penting untuk meletakkan soal emosi di belakang. Jadi UMNO dan Pas juga perlu begitu untuk merealitikan satu kerjasama politik yang dapat memberikan manfaat kepada kita semua,”ujarnya.

Bagaimanapun beliau percaya sekiranya ada kesepakatan antara pemimpin dan pengikut parti masing-masing, ia mampu memberikan satu masa depan politik yang lebih besar lagi terhadap kedua-dua buah parti ini.

“Bagi kepentingan semua pihak, saya percaya bahawa akan berlaku satu perubahan yang besar di dalam lanskap politik negara, terutama sekali di dalam pakatan-pakatan pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam

“Kerjasama antara UMNO dan Pas ini bagi saya adalah perlu untuk kebaikan semua pihak, namun ia mestilah dirumuskan dengan baik dan UMNO juga ada perkara-perkara yang perlu diperbaiki.

“Ini kerana saya merasakan bahawa orang sudah mendefinasikan kita sebegitu rupa, maka perlunya satu pentakrifan baru yang kuat untuk membuktikan perlunya UMNO untuk masa depan kita, terutama bagi orang Melayu di negara ini,” ujarnya.-MediaUMNO