Batal ERCL, BR1M.. Apakah Kerajaan PH Hari Ini Tidak Suka Bantu Orang Melayu?


KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan kerajaan hari ini yang membatalkan projek ECRL dan BR1M seolah-olah kerajaan hari ini tidak suka untuk membantu orang-orang Melayu di negara ini.

Beliau berkata demikian kerana, projek ECRL itu akan memberikan manfaat kepada negeri-negeri pantai timur seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan di mana majoriti penduduk di negeri itu adalah terdiri daripada orang-orang Melayu.

“Pembatalan ECRL ini sebenarnya memberikan kesan yang cukup besar dari sudut pembangunan dan ekonomi kepada tiga buah negeri-negeri yang mana majoriti penduduknya adalah terdiri daripada orang Melayu.

“Begitu juga dengan BR1M yang mahu dimansuhkan oleh kerajaan hari ini, majoriti penerimanya adalah terdiri daripada orang-orang Melayu juga. Jadi, apakah kerajaan hari ini tidak suka untuk membantu orang Melayu?,” soalnya ketika menjadi ahli panel Diskusi 100 Hari PH Tipu Rakyat yang membawa tajuk Kos Sara Hidup Meningkat.

Mantan Timbalan Menteri Kewangan itu seterusnya menegaskan, bahawa pembangunan ekonomi di negara ini perlu seimbang di antara pantai barat dan pantai timur.

“Jangan kerana dendam politik kita membuat keputusan-keputusan yang tidak betul. Jika kerajaan membuat keputusan yang tidak memihak kepada pengembangan ekonomi, maka kita jangkakan bahawa ekonomi  negara akan terus menguncup di masa akan datang ini.

“Sebagai contohnya pembatalan ECRL ini yang boleh memberikan pertumbuhan ekonomi mengikut jajaran 688 kilometer bermula fasa pertama dari Gombak ke Kota Bahru, dan fasa kedua pula dari Pelabuhan Klang dan Pengkalan Kubur.

“Mentang-mentanglah Pahang BN menang, Terangganu dan Kelantan Pas menang, mereka kata mahu batalkan dan kaji semula projek ERCL yang boleh memberikan pertumbuhan ekonomi sekaligus bermanfaat untuk rakyat di tiga negeri tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, projek landasan keretapi di mana-mana negara pun tidak mendatangkan keuntungan yang besar kepada pihak kerajaan, namun kesan daripada pembinaan laluan keretapi tersebut mampu memberikan pertumbuhan ekonomi secara tidak langsung di kawasan jajaran laluan keretapi tersebut.

“Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan membantu rakyat. Dengan pembinaan landasaran keretapi tersebut, di mana saja keretapi itu berhenti di stesen-stesen di kawasan tertentu, ekonomi tempat itu akan berkembang.

“Harga tanahnya akan naik, pembangunan akan diadakan lebih pesat di kawasan itu, Peniaga-peniaga berpeluang untuk menjalankan perniagaan. Penduduk di kawasan itu juga mempunyai peluang pekerjaan.

“Sekiranya projek ini diteruskan, saya percaya sepanjang jajaran laluan 688 kilometer itu, kawasan-kawasan tertentu di sekitar laluan keretapi itu akan menjadi tempat yang membangun dan maju. Jadi bagi saya, adalah satu keputusan yang silap sekiranya kerajaan membatalkan projek tersebut,” jelasnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.