Najib Kesal Kerajaan PH Berhasrat Mahu Hapus BR1M

KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan rasa kesal dengan pengumuman Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bahawa kerajaan berhasrat untuk mengurangkan jumlah BR1M, malah ada perancangan untuk menghapuskan skim bantuan tersebut.

Malah, beliau turut kesal apabila Tun Mahathir masih mendakwa bahawa BR1M dibayar dengan menggunakan wang yang dicuri dari 1MDB yang digunakan bertujuan untuk membeli rakyat.

“Saya kesal bahawa Tun Dr Mahathir semalam mengumumkan bahawa BR1M akan dikurangkan dan dihapuskan.

“Tun Mahathir juga masih mendakwa bahawa BR1M dibayar dengan wang yang dicuri dan tujuan BR1M ialah untuk “membeli” rakyat.

“Agak pelik tuduhan beliau itu bahawa kerajaan BN “curi” wang untuk diberikan semula kepada rakyat. Wang untuk membayar BR1M bukan dari sumber yang dicuri. Ia ialah dari langkah rasionalasasi subsidi dan GST.

“BR1M juga bukan untuk tujuan politik dan kriteria menerimanya hanya berdasarkan kepada pendapatan bulanan isi keluarga , tidak kira mereka menyokong parti politik mana,” tegasnya.

Beliau membuat kenyataan itu melalui entri terbaru beliau di laman facebook rasminya, Najib Razak.

Menurut Najib lagi, bukan lagi satu perkara yang terselindung bahawa sistem percukaian GST menyebabkan orang kaya mendapat lebih banyak subsidi pukal.

“Kutipan GST lebih banyak dari SST kerana orang kaya yang bayar lebih banyak GST kerana perbelanjaan mereka lebih dan lebih penting, GST mengurangkan pengelakkan cukai, mengurangkan aliran dana haram dan mengutip cukai daripada ekonomi “gelap”.

“Wang inilah yang kita kembalikan kepada golongan B40 sebagai BR1M yang terus naik jumlahnya dari tahun ke tahun kerana kutipan GST terus naik akibat dari pertumbuhan ekonomi Malaysia yang dulunya semakin naik.

“Bila orang berpendapatan sederhana dan miskin dapat duit, duit tu dibelanjakan semula dalam kitaran ekonomi terutama di kawasan luar bandar.

“Dengan ini, jurang kekayaan dan pendapatan antara golongan yang kaya dan miskin boleh dirapatkan,” jelasnya.

Ini jelas menurut beliau, dari nisbah GINI yang semakin menurun sehingga terendah di bawah 0.40 untuk pertama sekali dalam sejarah pada tahun 2016.

Kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi, minggu lepas, kerajaan PH telah mengumumkan bahawa kadar pertumbuhan KDNK (GDP) untuk suku kedua selepas mereka mengambil alih telah menurun dengan mengejutkan kepada 4.5 peratus berbanding 5.4 peratus untuk suku sebelum itu manakala kadar pengangguran sudah naik.

“Ada beberapa penganalisa ekonomi juga meramalkan Malaysia bakal akan jatuh kepada kemelesetan ekonomi atau krisis dalam tempoh yang terdekat. Harga getah dan minyak sawit juga telah turun dengan turuk semenjak PRU14.

“Ketika inilah orang miskin yang patut ditolong bukan dihukum. Di mana salahnya kalau kita mengambil wang dari yang kaya dan yang lari cukai untuk membayar kepada yang miskin?,”soalnya.

Najib seterusnya mengingatkan kerajaan bahawa mereka telah berjanj untuk meneruskan BR1M dalam manifesto dan mengapa sekarang mahu mungkir janji dan menghukum rakyat miskin?

“Apakah kerajaan sudah lupa janji-janji mereka? Nampaknya kerajaan PH hanya mementingkan golongan yang kaya, ekonomi gelap dan peniaga yang suka mengelak cukai daripada mahu menaikkan gaji dan membantu golongan yang miskin.

“Saya bimbang bahawa jurang pendapatan yang semakin turun masa saya menjadi Perdana Menteri akan naik kembali kepada tahap yang tinggi pada penggal pertama Tun Mahathir berkuasa,”ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.