PRK Seri Setia : Kolaborasi Antara UMNO Dan Pas Bakal Timbulkan ‘Masalah Besar’ Kepada PH


KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, beliau yakin kolobrasi dan kerjasama antara UMNO dan Pas bakal menimbulkan ‘masalah besar’ kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia.

Jelas beliau, kematangan antara kedua-dua parti di PRK Seri Setia akan menyebabkan sejarah bakal tercipta dalam landskap politik tanah air.

“Kami amat teruja dengan penghormatan yang diberikan oleh Pas kepada UMNO. Apa yang berlaku di Seri Setia ini berbeza dengan PRK Sungai Kandis kerana ketika itu hanya pucuk pimpinan Pas yang memberi lampu hijau tetapi penerimaan di bawah amat kurang namun kali ini kerjasama antara UMNO dan Pas benar-benar terjalin.

“Sebab itu UMNO memainkan peranan penting dalam usaha menyatukan kedua-dua parti. Bila terima arahan dari Presiden parti, kita terus membuat persiapan. Keutamaan kita adalah memastikan ahli UMNO mengundi Pas pada PRK ini,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Pada masa yang sama tambah Mutalif, beliau dapat melihat sikap positif rakyat di DUN Seri Setia yang menerima baik kerjasama antara UMNO dan Pas. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.