UMNO Pasir Salak Bidas Cubaan Gagalkan Program Himpunan Melayu Bangkit

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin menyelar tindakan mereka yang tidak bertanggungjawab yang cuba mensabotaj program Himpunan Melayu Bangkit yang bakal diadakan pada 1 September ini.

Jelas beliau, poster yang tersebar di media sosial dan wassap kononnya program tersebut adalah untuk menyingkirkan Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dari UMNO adalah satu tindakan terdesak yang sebenarnya bimbang akan kebangkitan orang Melayu.

“Tujuan program ini adalah untuk mempertahankan hak-hak orang Melayu dan agama Islam yang muktahir ini semakin dicabar dan dihina.

“Ia tidak ada kaitan dengan fahaman politik kerana himpunan ini melibatkan semua orang yang beragama Islam tanpa mengira mereka penyokong politik mana.

“Saya mahu satukan semua orang Melayu. Ia tidak ada kena mengena dengan Datuk Seri Najib. Jadi, bagi saya ini adalah tindakan mereka yang sebenarnya bimbang bila orang Melayu bersatu,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Tambah Tajuddin yang juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, beliau berharap agar orang ramai tidak akan mudah percaya dengan fitnah yang bertujuan menggagalkan program tersebut. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.