Kerajaan Warisan Sabah Perlu Kotakan Janji, Tuntut Janji Hak Autonomi – Rahman

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menegaskan, kerajaan Warisan di Sabah perlu menuntut janji kerajaan pusat untuk memberikan autonomi kepada rakyat Sabah sepertimana yang telah dijanjikan oleh Pakatan Harapan pada PRU ke 14 sebelum ini.

Menurut beliau, ini merupakan masa yang sesuai untuk Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal menuntut hak autonomi tersebut memandangkan Parti Warisan tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat di Semenanjung.

“Ada sebab mengapa parti Warisan tidak masuk dalam Pakatan Harapan. Pada pandangan saya, sebab Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Presiden Warisan, mahukan sebuah kerajaan yang tidak terikat dengan kerajaan persekutuan. Sebab itu beliau tidak mahu masuk dalam Pakatan Harapan, mengambil kira sentimen rakyat Sabah yang rata-ratanya mahukan autonomi.

“Maka Warisan membuat keputusan untuk menjadi sebuah parti yang bebas daripada PH, tetapi bekerjasama. Parti Warisan perlu mengambil kesempatan ini untuk menuntut apa yang telah dijanjikan oleh kerajaan persekutuan kerana premisnya ialah, mereka tidak mahu masuk PH kerana mahu menjadi sebuah kerajaan yang mampu untuk memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan untuk mendapatkan autonomi.

“Saya percaya kalau kerajaan Warisan di Sabah mengorak langkah untuk mendapatkan autonomi ini, UMNO Sabah juga akan membantu untuk mendapatkan autonomi kepada negeri Sabah. Dan pada pandangan saya perkara ini bagus, kerana kalau seluruh kuasa tertumpu kepada kerajaan pusat, maka kerajaan negeri hanyalah kerajaan rubber stamp,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel jemputan dalam program ‘Diskusi 100 Hari PH Tipu : Sabah Sekadar Janji’  bersama Datuk Dr Azizan sebagai moderator yang bersiaran langsung melalui medium facebook rasmi UMNO Online, Isnin malam.

Turut serta dalam diskusi tersebut ialah Senior Fellow, Social Empowerment and Empowerment Development of Sabah (SEEDS), Dr Arnold Puyok

Tambah Rahman lagi, beliau meminta kerajaan Warisan Sabah agar mengotakan janji mereka untuk menuntut autonomi daripada kerajaan persekutuan untuk negeri Sabah.

“Rakyat Sabah hari ini  sedang melihat pretasi kerajaan Warisan sama ada mereka mampu untuk mengotakan janji yang telah mereka janjikan itu pada PRU ke 14 sebelum ini.

“Dan saya kira, mereka tidak akan dapat bertahan dengan lama dengan alasan demi alasan untuk tidak mengotakan janji mereka itu, termasuk untuk menyelesaikan masalah setinggan di kawasan-kawasan di negeri Sabah,” ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.