CEP Mesti Dibubarkan, Laporannya Mesti Didedah Kepada Parlimen dan Rakyat – Annuar

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Demi kebaikan, Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) harus dibubarkan dengan anggotanya tidak harus terlibat dalam urusan kerajaan dan biarlah sistem yang sedia ada berfungsi mengikut peraturan dan perlembagaannya, kata Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada CEP, terdiri daripada lima tokoh rapat dengan Perdana Menteri (PM), yang telah pun menamatkan tugasnya dalam tempoh ditetapkan dan akan menyerahkan laporannya kepada PM, minggu depan.”

Katanya, CEP ditubuhkan untuk menasihati kerajaan pada awal pembentukannya, terutama sebelum Kabinet terbentuk sepenuhnya dan sebelum sidang pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

“Sekarang segala- galanya sudah terbentuk, dan PM mempunyai anggota Kabinet yg cukup hebat, terdiri daripada pemimpin terkanan lima parti yang sebahagiannya telah berjuang begitu lama.

“Malah kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ada yang lebih lama daripada anggota CEP sendiri.

“Atas dasar prinsip kebertanggungjawapan bersama Kabinet, kita merasakan tidak wajar lagi untuk CEP wujud, dan Kabinet perlulah berfungsi sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegas beliau, CEP tidak ada legitimasi undang- undang atau perlembagaan dan ia juga tidak merupakan sebahagian daripada tiga cabang legislatif, eksekutif dan kehakiman.

“Kewujudannya secara berterusan boleh membongkah sistem demokrasi parlimen sedia ada. Ada yang berpendapat, tugas ini sukarela dan tanpa kos kepada kerajaan. Ini bukan soal kos tapi soal kewajaran dan soal kuasa.

“Apa lagi hampir kesemua anggota terbabit mempunyai kepentingan sangat besar dengan kerajaan dan ‘conflict of interest’ ternyata wujud. CEP juga mencabar wibawa anggota Kabinet. Bukan sahaja seolah-olah Kabinet tidak diyakini tetapi juga dilihat tidak konsisten.

“Ini kerana ada menteri Kabinet sebelum ini menuduh beberapa anggota CEP dengan pelbagai tuduhan berat, termasuk penyelewengan, tapi kini dilihat bukan saja tidak bertindak, sebaliknya tunduk kepada CEP. Kesemua ini boleh membawa kepada soal integriti.”

Ujarnya, apa lagi kiranya formula yang di perakukan gagal, sedangkan CEP tidak bertanggungjawab kepada sesiapa kecuali kepada seorang PM.

“Saya mencadangkan laporan CEP hendaklah didedahkan kepada awam dan perlu dilaporkan dalam sidang parlimen akan datang. Ini bukan sahaja supaya ada ketelusan, tetapi juga mengelak tuduhan-tuduhan selepas ini.

“Sudah kedengaran timbul syak wasangka atas peranan CEP yang diketahui umum sangat terlibat dgn percaturan politik aras tinggi. Ini bakal memburukkan situasi dan mewujudkan Kabinet di belakang Kabinet,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Ketereh. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.