Laporan Portal The Malaysian Insight Hanya Cerita Yang Direka-Reka : Annuar
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa membidas laporan portal The Malaysian Insight yang mendakwa kononnya 15 pemimpin UMNO akan diminta berehat sementara parti itu dipulihkan.
Sambil menyifatkan ada pihak yang menjadi dalang menyusun cerita karut itu, beliau turut mempersoalkan apa niat portal tersebut menyiarkan laporan yang direka-reka seperti itu.
“Saya mahu bertanya, apa niat sebuah portal The Malaysian Insight yang mereka-reka cerita kononnya ada15 pemimpin UMNO akan diminta berehat sementara UMNO dipulihkan.Kononnya,keputusan ini dicapai dalam satu ‘retreat’ UMNO baru- baru ini.
“Di sini saya ingin menegaskan bahawa perkara seperti ini tidak pernah berbangkit atau dibincangkan di mana-mana pun.
“Tiada sebarang keputusan sedemikian dibuat dan tidak ada sesiapa perlu dihalang hak mereka, malah kita akan terus saling sandar-menyandar dan bersolidariti sebagai satu keluarga besar UMNO,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.
Menurut Annuar, tiada mana- mana pemimpin UMNO yang harus didiskriminasikan, dan UMNO akan terus bersifat terbuka dan demokratik.
“Apa lagi mereka yang telah dipilih oleh rakyat atau telah dipilih oleh ahli parti
UMNO, sebuah parti yang besar.
“Dan seperti yang kita sedia maklum, kepimpinan UMNO berakarkan berkepelbagaian latar belakang dan gaya ketokohan sejak dari dulu hingga ke hari ini,” jelasnya.
Katanya lagi, pemerkasaan parti adalah agenda berterusan dan sedang berjalan dengan baik di bawah pimpinan yang baru dipilih.
“Segala perjalanan parti harus berpandukan peraturan dan perlembagaannya dan ia akan berterusan secara inklusif, berpasukan dan menurut acuan kita sendiri.
“Kita amat yakin UMNO akan muncul lebih kemas, lebih tersusun, lebih perkasa untuk menghadapi lanskap baru politik negara,” ujarnya.-MediaUMNO