Kerajaan PH Perlu Segera Menangkap Jho Low

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Mohamed Khaled Nordin mendesak agar Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) segera mendakwa Jho Low agar segala tanda tanya, spekulasi serta manipulasi akan terjawab segera.

Jelas beliau, kegagalan menangkap individu yang berkait rapat dengan isu 1MDB ini akan terus membuka ruang kepada sebaran pelbagai cerita dan spekulasi yang tidak jelas, tidak tepat dan mengelirukan semua pihak, bukan sahaja kepada UMNO, tetapi kepada pihak Kerajaan sendiri.

“Skandal 1MDB sudah terlalu kerap dilaporkan oleh media. Sama ada di media tempatan mahupun antarabangsa, media arus perdana mahupun media sosial dan alternatif, skandal ini terus menerus didedahkan dengan pelbagai nama, angka serta cerita yang tidak berkesudahan.

“Antara individu yang paling kerap namanya disebut adalah Jho Low. Beliau dilaporkan sangat terlibat dan mempunyai hubung kait secara langsung dengan skandal 1MDB, termasuklah pembelian kapal mewah Equanimity yang dikesan di Indonesia dan kini berada dalam tahanan Kerajaan Malaysia.

“Walau bagaimanapun, di sebalik segala laporan dan dakwaan penglibatan beliau, Jho Low sehingga kini masih belum ditahan oleh mana-mana pihak berkuasa Malaysia apatah lagi dibicarakan di mana-mana Mahkamah”, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ketiadaan tindakan, tangkapan dan perbicaraan ke atas beliau sehingga kini tegas Khaled lagi sudah pastilah menimbulkan banyak tanda tanya, spekulasi serta manipulasi.

Tambah beliau, adalah sangat kritikal dan penting untuk pihak Kerajaan pimpinan PH yang yakin dan mendakwa mempunyai maklumat akan penglibatan Jho Low dalam skandal ini, untuk menggandakan usaha menangkap, membawa pulang, menyoal siasat dan membicarakan beliau.

Ini kerana jelas Khaled seterusnya, penangkapan Jho Low akan menyebabkan rakyat Malaysia tidak lagi dibelenggu misteri skandal 1MDB. Kebenaran dan keadilan dalam skandal in mesti didedahkan agar semua pihak mengetahui perkara sebenar.

“Perkara ini seterusnya akan memberi kesudahan kepada skandal ini sekali gus membolehkan Kerajaan dan rakyat Malaysia memfokuskan pula kepada perkara lain yang lebih penting.

“Malaysia mempunyai pelbagai perkara lagi yang mesti kita lihat dan uruskan dengan baik. Bukan sahaja skandal yang tidak berkesudahan”, ujarnya.

Kedua kata beliau lagi umum mahukan Jho Low, dan semua yang terlibat dalam skandal ini, dibawa ke muka pengadilan dan melalui proses yang sewajarnya secara telus dan teratur.

“Hanya inilah cara terbaik berhadapan dengan semua yang terlibat, ketiga, saya sangat percaya bahawa usaha mencari kebenaran dan keadilan dalam skandal 1MDB ini akan mendapat kerjasama yang baik daripada Datuk Seri Mohd Najib Razak dan keluarga beliau.

“Sekiranya mereka mengetahui dan mempunyai maklumat tentang Jho Low, sudah pastilah menjadi tanggungjawab mereka untuk berkongsi dengan pihak berkuasa tempatan.

“Ia bukan sahaja satu perkara yang betul untuk dilakukan. Malah, ia akan membantu membersihkan nama dan imej beliau dan keluarga yang kini tercemar dengan skandal ini”, katanya.

Keempat jelas Khaled, memandangkan isu ini sangat kompleks dan rumit, maka beliau juga percaya bahawa kita mesti bekerjasama rapat dengan mana-mana pihak berkuasa luar yang sedang menyiasat dan mencari penyelesaian kepada perkara ini.

Justeru tegasnya, Kerajaan Malaysia harus mempamerkan keseriusan dan kesungguhan yang lebih tegas bagi mendapatkan Jho Low dan mengheret beliau ke muka keadilan.

Pihak Kerajaan kata beliau lagi tidak seharusnya sekali-kali melihat Jho Low sebagai sekadar watak sampingan yang boleh diketepikan.

“Sebarang pendekatan menunggu dan mengharapkan beliau untuk tampil sendiri dan memberi penjelasan secara sukarela tidak akan berjaya dalam kes ini.

“Jawapan yang hanya menyalahkan Kerajaan sebelum ini kerana gagal menahan Jho Low, sudah tentunya bukan alasan yang boleh diterima lagi. Ini kerana, UMNO sendiri mahukan perkara ini diselesaikan segara agar ia boleh memfokuskan kepada perkara lain yang lebih penting”, ujarnya.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa nenguruskan skandal 1MDB dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan merupakan komitmen dan janji yang dilaungkan oleh Kerajaan sendiri pra PRU-14.

“Jadi, adalah kritikal untuk perkara ini diberikan perhatian dengan lebih serius dan tegas.

“Semoga semua pihak yang terlibat dan bertanggungjawab akan diberikan perbicaraan yang adil dan semoga kebenaran dan keadilan akan hadir dengan selayaknya,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.