PRK Seri Setia: Pertembungan Satu Lawan Satu Antara Pas Dan PH
PETALING JAYA, 18 Ogos – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapan (PH) dan PAS.
Ia melibatkan calon PH bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Halimey Abu Bakar, 46, dan calon PAS, yang juga bekas anggota Exco kerajaan Selangor, Dr Halimah Ali, 58.
Pegawai Pengurus PRK DUN Seri Setia, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain membuat pengumuman itu pada pukul 10.37 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ) di sini, hari ini.
Mohd Azizi berkata pihaknya menerima borang pencalonan daripada calon PH pada pukul 9.10 pagi, manakala daripada calon PAS, pukul 9.15 pagi.
Proses penamaan calon yang berlangsung selama sejam ditutup pada 10 pagi.