Kami Akan Usahakan Terbaik Untuk Pembangkang, Bawa Suara Rakyat – Wee Ka Siong
HULU LANGAT, 18 Ogos – Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong penuh yakin dan percaya semangat yang ditunjukkan oleh jentera parti pada hari penamaan calon hari ini bakal memberikan saingan sengit sekaligus akan memastikan usaha yang terbaik untuk barisan pembangkang.
“Walau apa pun logo parti komponen kita masih lagi bersemangat. Kita sebagai kawan karib kita tidak lupakan kawan dan di peringkat akar umbi hubungan akrab kita sedia terjalin.
“Saya yakin rakan-rakan pimpinan di akar umbi termasuk yang dulu satu ketika bersama dan sekarang walaupun tinggalkan kita namun hari ini mereka masih datang ke sini untuk memberikan sokongan.
“Inilah semangat yang kita rasa terharu dan semangat perjuangan yang kental ini akan diteruskan dan saya nak beri jaminan bahawa kita terus berusaha yang terbaik untuk Barisan Nasional (BN) bagi memperkuatkan lagi pembangkang.
“Calon kita adalah anak watan yang dilahir dan dimandikan di tepi longkang di sini, dibesarkan di sini, beliaulah orang yang kenal parit serta jalan dan inilah anak tempatan yang kita tampilkan untuk PRK Balakong ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sejurus selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, di sini, hari ini.
Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong pada 8 Sept ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PH) dan MCA.
MCA mempertaruhkan ahli perniagaan Tan Chee Teong manakala PH menampilkan pemimpin muda wanita daripada parti gabungannya DAP Wong Siew Ki.
Keputusan pencalonan diumumkan Pegawai Pengurus PRK DUN Balakong Datuk Rosli Othman kira-kira 10.30 pagi di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, di sini.
Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam satu kemalangan jalanraya 20 Julai lepas.
Wee Ka Siong seterusnya meletakkan kepercayaan penuh kepada calon MCA yang diketengahkan pada kali ini untuk memainkan peranan sebagai semak dan imbang kepada kerajaan negeri sekiramya diberikan mandat nanti.
“Kita perlukan pembangkang yang kuat untuk Selangor yang hari ini tidak sampai 10 peratus. Untuk mencapai semak dan seimbang sudah tentu kita perlukan wakil pembangkang.
“Kita boleh menjadi pembangkang yang konstruktif, pembangkang yang efektif untuk memastikan kerajaan yang ada sekarang melaksanakan tanggungjawabnya tanpa mengabaikan kepentingan rakyat. Perlu ada semak dan imbang dalam DUN. Dalam konteks demokrasi yang subur elemen semak dan imbang amat penting,” katanya. – MediaUMNO