Cadangan Kerajaan Johor Tubuh Syarikat Air Sendiri Dipertikai, Tidak Praktikal – Khaled

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari mempersoalkan cadangan penubuhan syarikat air sendiri di Johor yang disifatkan tidak praktikal dan tidak bernas.

Menurut beliau apabila menubuhkan syarikat air yang baharu, ini bermakna harus bermula dari sifar, tidak ada aset, tidak ada kelengkapan, tidak ada prasarana, tidak ada pekerja dan tidak ada sumber yang mencukupi.

“Bukankah semua ini akan menimbulkan kesukaran. Malah, ia akan memakan masa yang sangat lama untuk dijayakan. Lebih-lebih lagi dalam memastikan proses ini dijalankan dengan lancar tanpa memberi gangguan kepada perkhidmatan air di Johor.

“Kedua, jika sekarang ini saham SAJ-Ranhill sedang murah dan jatuh, bukankah ini masa terbaik untuk membeli kerana harganya lebih murah. Ketiga, sudah tentulah secara umumnya pembelian dan pengambilalihan SAJ-Ranhill memerlukan kemahuan dan persetujuan dari mereka.

“Tetapi, adakah Menteri Besar sudah berunding dengan mereka. Adakah mereka sudah menolak idea ini dan menyatakan pendirian tegas bahawa mereka tidak akan menjual saham mereka biar apa sekalipun hasrat, tawaran dan alasan Kerajaan Negeri, atau, adakah awal-awal lagi Menteri Besar Johor sudah mengaku kalah dan membuat andaian bahawa SAJ-Ranhill enggan bekerjasama dan tidak akan melayan sebarang rundingan dengan Kerajaan Negeri,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Tegas Khaled sekalipun benar SAJ-Ranhill tidak mahu dan berkeras untuk tidak menjual saham mereka, bukankah ini seharusnya menjadi cabaran dan ikhtiar seorang Menteri Besar dan beliau tidak seharusnya mengemukakan alasan bahawa ia sukar, ia tidak akan berjalan lancar dan ia tidak akan boleh dilakukan.

Sebaliknya tambah beliau lagi menteri besar harus menunjukkan kesungguhan, ketegasan dan berusaha keras untuk memastikan perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat Johor dapat dijayakan.

“Kelima, adakah dengan menubuhkan syarikat air baharu ini kelak, yang mana saya lihat sebagai tidak praktikal, ini bermakna akan terdapat dua syarikat penyedia perkhidmatan air di Johor? Iaitu syarikat air Johor yang baharu dan SAJ-Ranhill, atau adakah Menteri Besar Johor akan memastikan SAJ-Ranhill tidak lagi wujud dan beroperasi dan hanya syarikat air yang baharu sahaja dibenarkan beroperasi.

“Keenam, sekalipun, segala perkara yang saya nyatakan ini dapat diselesaikan, bilakah sebenarnya YAB Menteri Besar Johor bercadang untuk menubuhkan syarikat baharu ini? Adakah sudah dikenal pasti akan segala keperluan dan cabaran operasinya dengan baik dan teliti.

“Kesemua ini harus dibentang dan dijelaskan oleh YAB Menteri Besar Johor. Ini amat penting bagi mengelakkan beliau dilihat sebagai mengemukakan cadangan tersebut sekadar melepaskan batuk di tangga, tanpa ada kesungguhan dan niat yang ikhlas untuk menyelesaikan isu ini,“ katanya.

Kata Khaled beliau tetap dengan pendirian bahawa mengambil alih SAJ-Ranhill masih jalan keluar terbaik kepada masalah air Johor.

“Saya tidak akan membiarkan isu air Johor diambil ringan oleh Kerajaan Negeri memandangkan ini adalah isu serius yang melibatkan kepentingan rakyat Johor secara keseluruhannya. Yang pasti, jawapan Menteri Besar Johor tempoh hari hanya membuka laluan kepada lebih banyak persoalan,” katanya lagi. – MediaUMNO

Kenyataan Penuh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

Dalam mencari penyelesaian kepada masalah air Johor (yang mempunyai tarif antara termahal di Malaysia serta gangguan bekalan yang kerap), Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian membentangkan jalan keluar mudah dan simplistik dengan mencadangkan penubuhan syarikat air sendiri yang baharu di Johor.

Tanpa memberikan perincian dan maklumat lanjut, beliau mendakwa bahawa cara ini adalah lebih baik berbanding cadangan dan desakan saya selama ini yang menyarankan Kerajaan Negeri mengambil alih SAJ-Ranhill (penyedia dan pengurus perkhidmatan air Johor).

Beliau mengemukakan alasan bagi menyokong cadanganya bahawa:

Menubuhkan syarikat air Johor yang baharu adalah lebih mudah,

Saham SAJ-Ranhill kini merosot, jadi bukan sesuatu yang menguntungkan Kerajaan Negeri untuk mengambil alih syarikat yang rendah nilai sahamnya.

Pembelian atau pengambilalihan saham tersebut sangat bergantung kepada kemahuan SAJ-Ranhil untuk menjual. Jika mereka tidak mahu menjual, Kerajaan Negeri tidak ada upaya untuk berbuat apa-apa.

Hujah dan alasan sebegini adalah sangat cetek, culas dan gagal melihat konteks isu air Johor secara menyeluruh.

Terlebih dahulu, saya harus akui bahawa cadangan beliau itu adalah bersandarkan premis yang sama dengan saya. Iaitu, SAJ-Ranhill selaku penyedia dan pengurus perkhidmatan air Johor mempunyai kelemahan dan tidak menunjukkan prestasi yang baik. Saya sendiri akui dan sokong pandangan ini. Sebab itulah kita memerlukan alternatif bagi menyelesaikan masalah ini.

Akan tetapi, cadangan menubuhkan syarikat air baharu adalah tidak praktikal dan tidak bernas.

Pertama, apabila menubuhkan syarikat air yang baharu, ini bermakna kita harus bermula dari sifar. Tidak ada aset, tidak ada kelengkapan, tidak ada prasarana, tidak ada pekerja, tidak ada sumber yang mencukupi. Bukan

semua ini akan menimbulkan kesukaran. Malah, ia akan memakan masa yang sangat lama untuk dijayakan. Lebih-lebih lagi dalam memastikan proses ini dijalankan dengan lancar tanpa memberi gangguan kepada perkhidmatan air di Johor.

Kedua, jika sekarang ini saham SAJ-Ranhill sedang murah dan jatuh, bukankah ini masa terbaik untuk membeli? Kerana harganya lebih murah.

Ketiga, sudah tentulah secara umumnya pembelian dan pengambilalihan SAJ-Ranhill memerlukan kemahuan dan persetujuan dari mereka.

Tetapi, adakah Menteri Besar sudah berunding dengan mereka? Adakah mereka sudah menolak idea ini dan menyatakan pendirian tegas bahawa mereka tidak akan menjual saham mereka biar apa sekalipun hasrat, tawaran dan alasan Kerajaan Negeri?

Atau, adakah awal-awal lagi Menteri Besar Johor sudah mengaku kalah dan membuat andaian bahawa SAJ-Ranhill enggan bekerjasama dan tidak akan melayan sebarang rundingan dengan Kerajaan Negeri?

Keempat, sekalipun benar SAJ-Ranhill tidak mahu dan berkeras untuk tidak menjual saham mereka, bukankah ini seharusnya menjadi cabaran dan ikhtiar seorang Menteri Besar? Beliau tidak seharusnya mengemukakan alasan bahawa ia sukar, ia tidak akan berjalan lancar dan ia tidak akan boleh dilakukan.

Sebaliknya, beliau harus menunjukkan kesungguhan, ketegasan dan berusaha keras untuk memastikan perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat Johor dapat dijayakan. Biarlah sesukar manapun usaha dan proses tersebut.

Kelima, adakah dengan menubuhkan syarikat air baharu ini kelak, yang mana saya lihat sebagai tidak praktikal, ini bermakna akan terdapat dua syarikat penyedia perkhidmatan air di Johor? Iaitu syarikat air Johor yang baharu dan SAJ-Ranhill?

Atau adakah YAB Menteri Besar Johor akan memastikan SAJ-Ranhill tidak lagi wujud dan beroperasi dan hanya syarikat air yang baharu sahaja dibenarkan beroperasi.

Keenam, sekalipun, segala perkara yang saya nyatakan ini dapat diselesaikan, bilakah sebenarnya YAB Menteri Besar Johor bercadang untuk menubuhkan syarikat baharu ini? Adakah sudah dikenal pasti akan segala keperluan dan cabaran operasinya dengan baik dan teliti?

Kesemua ini harus dibentang dan dijelaskan oleh YAB Menteri Besar Johor. Ini amat penting bagi mengelakkan beliau dilihat sebagai mengemukakan cadangan tersebut sekadar melepaskan batuk di tangga, tanpa ada kesungguhan dan niat yang ikhlas untuk menyelesaikan isu ini.

Saya tetap dengan pendirian saya bahawa mengambil alih SAJ-Ranhill masih jalan keluar terbaik kepada masalah air Johor.

Saya tidak akan membiarkan isu air Johor diambil ringan oleh Kerajaan Negeri memandangkan ini adalah isu serius yang melibatkan kepentingan rakyat Johor secara keseluruhannya. Yang pasti, jawapan Menteri Besar Johor tempoh hari hanya membuka laluan kepada lebih banyak persoalan.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.