100 Hari Pentadbiran, Kerajaan PH Masih Bermentaliti Pembangkang – Mohd Shahar

 

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah melahirkan rasa kecewa pada mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-14 yang berakhir semalam apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan pasca Pilihan raya Umum (PRU-14) masih bermentaliti pembangkang.

Menurut beliau persidangan yang ditangguhkan hanya menyerlahkan sikap ‘game of blame’ kerajaan baharu terhadap kerajaan sebelum ini yang sekaligus memaparkan kewibawaan sebenar mereka.

“Mereka tidak mempunyai mentaliti kerajaan. Sepatutnya apabila menjadi kerajaan mereka mesti mempunyai mentaliti kerajaan. Jangan main ‘game of blame’ kerana apa… permainan menyalahkan mana-mana pihak adalah bukan sesuatu kwibawaaan sebuah kerajaan.

“Mereka seharusnya melihat dan perlu melakukan yang terbaik dan mereka juga harus mentadbir bagaimana kerajaan terdahulu mentadbir dan sepatutnya mereka melakukan lebih baik daripada kerajaan terdahulu sepertimana yang dijanjikan kepada rakyat. Mereka nampaknya masih berada dalam mentaliti pembangkang,“ katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau antara muka baru Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bagaimanapun menyatakan ikrar dan tekadnya untuk terus ke depan dalam usaha memastikan rakyat mendapat perhatian dan tumpuan sewajarnya.

“Alhamdulillah kita mempunyai ahli Parlimen BN yang sayang pada rakyat serta negara dan mereka mahukan kesejahteraan serta kemakmuran walaupun rakyat telah memberikan mandat kepada PH.

“Apa pun kita daripada kalangan pembangkang akan  tetap dan terus memperjuangkan kesejahteraan bersama supaya rakyat dapat hak seadilnya dibawah usaha kami sebagai pembangkang yang konstruktif,” katanya.

Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Parlimen ke-14 ditangguhkan selepas 20 hari bersidang.

Sebelum menangguhkan mesyuarat, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berkata persidangan kali ini beliau sifatkan sebagai sangat bersejarah kerana peralihan kuasa yang berlaku buat kali pertama di negara ini berjalan dalam keadaan penuh aman dan harmoni.

“Ini membuktikan kematangan anggota parlimen dalam mengurus kepelbagaian yang wujud dalam negara ini. Ahli yang berhormat saya sebagai Tuan Yang Dipertua dan mewakili kedua timbalan saya ingin merakamkan ucapan setinggi terima kasih kepada ahli yang berhormat yang telah memberi kerjasama bagi membolehkan perjalanan majlis mesyuarat dapat disempurnakan dalam tempoh 20 hari ini,” katanya.

Persidangan kali ini memulakan mesyuarat pertamanya pada 16 Julai lepas selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyaksikan Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu dengan peralihan kerajaan daripada Barisan Nasional buat pertama kalinya.

Sebelum PRU14, kali terakhir Dewan Rakyat bersidang pada 5 April lepas, sebelum ia dibubarkan pada 7 April untuk memberi laluan kepada PRU14 diadakan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.