100 Hari Kerajaan PH… Apa Kejayaan Yang Dibanggakan?

Ropikah Ahmad

KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Hari ini genap 100 hari manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Pakatan Harapan (PH), yang sebahagian besarnya tidak tertunai dan seperti yang diduga, isu ekonomi negara masih dimainkan sebagai helah kerajaan untuk menangkis kritikan rakyat, kata Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Justeru katanya, tidak seperti kebanyakan kerajaan di negara lain yang biasa akan meraikan kejayaan 100 hari memerintah, namun di Malaysia tiada sebarang acara diadakan oleh Kerajaan PH bagi meraikan 100 hari mereka kerana tiada apa kejayaan besar yang dicapai untuk dibanggakan.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tempoh lima tahun tidak cukup untuk ‘memperbaiki kerosakan’ yang ditinggalkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) sementara Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah pula berkata dengan angkuh bahawa PH tidak perlu meminta maaf di atas kegagalannya menunaikan janji yang terkandung di dalam manifesto.

“Semua kenyataan ini adalah alasan dan jelas mengambarkan kegagalan Kerajaan PH melunaskan janji mereka,” bidas beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

Persoalannya, katanya, apakah tempoh 22 tahun Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri keempat mencipta kejayaan tanpa cacat-cela dan bukankah tempoh dan pengalaman beliau yang begitu lama mentadbir Malaysia sepatutnya sudah cukup membantu beliau melunaskan janji 100 hari PH?

“Jadi kegagalan ini juga membuktikan bahawa mentadbir negara tidak boleh dilaksanakan berseorangan dan ianya memerlukan pasukan yang kuat.

“Maka, ketidakupayaan Kerajaan PH melunaskan janjinya juga kerana Perdana Menteri dikelilingi kebanyakannya oleh mereka yang tidak berkebolehan serta tidak berpengalaman.

“Kenyataan Timbalan Perdana Menteri pula adalah tanda mereka tidak berterima kasih kepada rakyat yang memilih mereka.”

Kata beliau yang juga Ahli Parlimen Lenggong, hakikatnya ramai yang mengundi Kerajaan PH menanti dan menagih segala janji.

“Namun tol tidak dihapuskan, hutang peneroka Felda gagal dihapuskan, janji PTPTN gagal ditunai, harga komoditi seperti minyak sawit merudum dan menghimpit peladang terbabit dan tiadanya penurunan harga minyak ketika harga dunia menurun, adalah hal yang merungsingkan rakyat.

“Golongan nelayan pula terus dihimpit keresahan dengan hilangnya elaun manakala rakyat miskin makin menghadapi kesukaran untuk hidup dengan janji kosong PH. Lebih malang tiada perancangan atau halatuju yang jelas bagaimana Kerajaan PH mahu membantu serta menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi

“Kebimbangan rakyat juga ialah apabila Kerajaan PH tidak begitu serius menanggani kesan kenaikan harga barang.Kesan langsungnya terkena kepada mereka yang berpendapatan rendah dan pekebun kecil.”

Tegasnya, kuasa beli mereka semakin kurang akibat pendapatan semakin terjejasekoran daripada kesan ketidakcekapan mentadbir ekonomi yang kini menghimpit kehidupan rakyat sedangkan menyelesaikan isu kos sara hidup juga adalah janji 100 hari mereka.

“Perkara yang jelas ialah sikap memyalahkan kerajaan terdahulu bagi menutup kelemahan Kerajaan PH. Sikap begini tidak boleh berterusan kerana rakyat mahu lihat bagaimana polisi dan dasar baru yang melegakan rakyat dilaksanakan oleh Kerajaan PH hari ini.100 hari telah berlalu, apakah hari berikutnya pentadbiran Kerajaan PH akan terus begini ?

“Pendekatan baru yang dilihat oleh rakyat ialah apabila banyak u-turn kerajaan lakukan, contohnya ke atas projek HSR dan ECRL . Semua ini juga dilihat sebagai kelemahan dalam mentadbir pembangunan negara.

“Kesannya boleh dilihat umpamanya, apabila wakil Perdana Menteri yang dihantar ke China dilihat gagal meyakinkan mereka sehingga Perdana Menteri terpaksa merangka lawatan sekali lagi ke China. Semua ini merugikan rakyat kerana jika kuasa besar seumpama China dilihat tidak lagi berminat kepada negara ini. Kesan jelas apabila berlaku kejatuhan harga komuditi apabila China difahamkan menghenti pembeliannya daripada Malaysia.”

Jelasnya, melihat kepada situasi begini, sebenarnya ramai pihak bimbang dan merasa amat pelik kerana sejak memerintah, kerajaan belum pun mengumumkan pakej rangsangan ekonomi dan pelaburan, yang menyaksikan pasaran saham terumbang-ambing dan nilai ringgit terus merudum.

“Justeru itu di pihak pembangkang, kita mahu melihat penjelasan matematik terhadap semua angka yang diberikan, dan bukan sekadar angka tangkap muat kepada semua persoalan mengenai projek yang dibatal atau ditangguhkan. Sebagaimana diamalkan oleh Menteri Kewangan Kerajaan PH.

“ Persoalannya, di mana ahli ekonomi PH yang menjalankan penyelidikan semula kos tol, HSR, ECRL serta projek lain? Rakyat mahukan ‘mathematical answer’ terhadap semua ini, terutama kononnya hutang RM1.4 trilion kerajaan, LRT3 dan yang lain. Perkara ini penting untuk meningkatkan keyakinan peniaga, pelabur luar dan bukan semata rakyat Malaysia.

“ Semua pihak perlu diyakinkan bahawa penghapusan GST yang digantikan dengan SST akan membawa kebaikan. Jadi bagaimana perkiraan Lim Guan Eng bahawa negara tidak akan kekurangan sumber kewangan akibat perubahan sistem percukaian ini. Perkara penting seperti ini amat mempengaruhi keadaan ekonomi negara dan tidak boleh diambil mudah oleh Kerajaan PH.”

Seterusnya, katanya, bagaimana janji-janji PH yang lain kerana golongan LGBT makin berani menuntut hak dan mencabuli peraturan Islam, manakala tuntutan komponennya agar UiTM dibuka kepada bukan-Melayu dibiarkan menjadi kemelut keresahan orang Melayu.

“ Sikap menyalahkan kerajaan terdahulu bagi menutup kelemahan Kerajaan PH tidak boleh berterusan. Rakyat mahu lihat bagaimana polisi dan dasar baru yang melegakan rakyat dilaksanakan oleh Kerajaan PH hari ini.100 hari telah berlalu, apakah hari berikutnya pentadbiran Kerajaan PH akan terus begini ?

“ Kerajaan PH perlu membuktikan keupayaan memerintah. Menteri Kewangan yang menjaga khazanah negara mesti mengubah sikap dan cara bekerja. Menyalah dan menimbulkan persepsi serta membuat tuduhan kepada kerajaan terdahulu tanpa asas bukan cara bekerja yang baik bagi seorang Menteri penting kepada sebuah kerajaan.

“ Dalam tempoh 100 hari nilai ringgit Malaysia jatuh menjunam. Jumlah aliran keluar wang tunai dan pelaburan dalam negara semakin membimbangkan. Situasi ini yang perlu Menteri Kewangan selesaikan namun setakad ini sangat jelas beliau nampaknya sangat gagal dan buntu dalam mencari jalan keluar kepada masalah ini. Kesan kegagalan ini bukan hanya merugikan mereka yang mengundinya sahaja tetapi juga kepada banyak pihak.”

Hakikatnya, tegas beliau, kerajaan dilihat bukan hanya gagal menunaikan 10 janji 100 hari, sebaliknya juga telah mencipta pelbagai kelemahan lain serta menumpukan perkara lain umpamanya meluluskan RM25 Juta kepada Formula One (F1) yang nyata tidak memberikan keuntungan kepada rakyat berpendapatan rendah terutama di luar bandar yang sepatutnya diberikan perhatian.

“Saya berharap Kerajaan PH dapat melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab. Kegagalan Janji 100 Hari PH jangan disambung dengan pelbagai kegagalan yang lain kerana semua ini akan merugikan rakyat dan negara. Hakikatnya Kerajaan BN telah mewariskan yang terbaik kepada negara maka sepatutnya Kerajaan PH melakukan lebih baik dari itu demi rakyat,” katanya lagi. – MediaUMNO

Komen Anda


3 months ago