SST Tidak Mampu Turunkan Harga Barang – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan percaya pengenalan kembali Sales And Services Tax (SST) oleh kerajaan Pakatan Harapan hari ini  tidak akan mampu menurunkan harga barang sebaliknya akan mengalami kenaikan.

Pada masa yang sama beliau tetap berpegang kepada ungkapannya sebelum ini bahawa GST boleh menurunkan harga barang dan bukan sebaliknya seperti mana yang ditularkan oleh pelbagai pihak sehingga beliau menerima pelbagai tohmahan.

“Terdapat beberapa bukti…pertamanya apabila GST dilaksanakan pada 1 April 2015  masuk dalam semua akhbar syarikat-syarikat kereta menurunkan harga kereta. Kenapa harga kereta turun apabila GST dilaksanakan…sebabnya SST untuk harga kereta sebelum itu ialah 10 peratus. Apabila kita tukar kepada GST  enam peratus dan 10 peratus dimansuhkan maka harga kereta turun. Itu adalah bukti pertama.

“Keduanya ialah banyak berlaku jualan murah di pelbagai tempat setelah GST dilaksanakan beberapa bulan. Kenapa berlaku jualan murah…orang beranggapan apabila GST dilaksanakan harga barang  menjadi mahal dan mereka tangguhkan seketika untuk membeli barang. Nak beli sofa tambahan ditangguhkan dahulu…nak beli baju ditangguh dahulu dan sebagainya lagi.

“Ekoran itu permintaan menurun dan apa yang berlaku ialah untuk melariskan semula jualan barang-barang tersebut peniaga  mengadakan jualan murah dan inilah yang berlaku,“ katanya.

Beliau berkata demikian pada program  Diskusi Dari Parlimen yang mengenengahkan topik SST: Harga Barang? yang dihoskan oleh Adnan Seman selaku moderator.

Tambah Ahmad Maslan yang sebelum ini merupakan bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  bukti seterusnya kebaikan GST adalah kadar inflasi.

“Ini tidak boleh tipu. Apabila saya bercerita GST dimana-mana saya tunjukkan graf kadar inflasi. Singapura mula-mula naik kemudiannya turun  apabila dilaksanakan GST. Australia dan New Zealand begitu juga. Rupa-rupanya Malaysia pun sama.

“Sebelum GST dilaksanakan pada tahun 2014, kadar inflasi negara adalah 3.2 peratus   dan apabila GST dilaksanakan pada tahun 2015 kadar inflasi purata tahun berkenaan adalah turun kepada 2.1 peratus.

“Pada tahun 2016 tahun kedua GST dilaksanakan  kadar inflasi masih lagi pada kadar yang sama. Manakala tahun ketiga GST iaitu 2017 naik kepada 3.7 peratus bukan sebab GST tetapi sebab nilai mata wang kita jatuh. Itu ada sebab antarabangsa dan lain-lain.

“Tetapi pada bulan Januari hingga Jun 2018 kadar inflasi ialah 1.8 peratus dan ia turun lagi. Siapa yang mahu mencabar kenyataan saya ini. Boleh pergi Jabatan Statistik…boleh pergi Bank Negara dan itu adalah faktanya,“ ujarnya.

Malah katanya lagi di parlimen pada 30 Oktober 2017 jawapan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan mengatakan sebanyak 223 barang turun kerana GST.

“Ini satu lagi bukti yang mana kenyataan saya sebelum ini yang dimanipulasi  oleh pihak sana dan persepsi dengan realiti merupakan perkara yang berbeza. Inilah realitinya yang sebenar,” katanya. –MediaUMNO