Ikuti Diskusi Dari Parlimen Malam Ini Kupas Isu SST: Harga Barang?

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Diskusi Dari Parlimen malam ini akan mengetengahkan topik SST: Harga Barang? Dengan menampilkan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di samping Adnan Seman selaku moderator.

Khalayak dipelawa untuk menonton secara langsung menerusi laman facebook rasmi UMNO Online, 9.00 malam ini dengan turut serta memberikan cadangan/komentar berkaitan isu terbabit menerusi ruangan komen yang ada.

Diskusi Dari Parlimen ini diadakan khusus sebagai platform bagi membincangkan isu-isu semasa yang diangkat di Dewan Rakyat bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-14 yang sedang berlangsung.

Berhubung dengan isu tersebut, Kerajaan Pakatan Harapan mahu memperkenalkan semula SST pada September ini setelah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikadar sifar pada 1 Jun lalu sejajar dengan janji manifesto pilihan raya umumnya ke-14.

Minggu ketiga persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini telah menyaksikan pembentangan rang undang-undang bagi memansuhkan GST dan pada masa sama memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi bacaan kali pertama.

Bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Cukai Jualan 2018; RUU Cukai Perkhidmatan 2018; Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 telah dibahaskan. – MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.