MCA Wakili BN Di PRK Balakong, Pas Diberi Laluan Untuk Seri Setia – Mohamad

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Barisan Nasional (BN) hari ini bersetuju untuk mengambil bahagian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dengan memberi semula mandat kepada MCA untuk mewakili parti terbabit.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata manakala pada PRK DUN Seri Setia pula, Pas akan diberikan laluan untuk bertanding mengambil kira parti tersebut yang telah memberi laluan kepada BN di Sungai Kandis sebelum ini.

“Untuk PRK Balakong kita menerima surat secara rasmi daripada MCA untuk menurunkan calon mewakili BN dan turut memohon menggunakan logo parti mereka. Ini selaras dengan hasrat BN untuk mengukuhkan parti serta jentera masing-masing

“Peluang PRK ini kita jadikan sebagai tempat ujikaji untuk kita melihat sejauh mana parti masing-masing dapat bergerak dan ini selaras dengan hasrat BN untuk mengukuhkan parti masing-masing dan kita juga mengambil kira BN baru sahaja mengambil bahagian dalam PRU lalu dan kita tahu sejauh mana prestasi menggunakan logo BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengeruskan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, di sini, hari ini.

Mohamad pada masa yang sama menegaskan BN akan terus diperkasakan dan satu jawatankuasa ditubuhkan untuk melakukan usaha termasuk re-branding semula parti berkenaan.

“Ini bukan bermakna apabila BN hari ini yang bersidang membenarkan parti logo masing-masing bertanding bermakna BN makin lama makin berpecah. Tidak ada…kita akan memperkasakan parti kerana BN ini sebagai badan induk yang memayungi semua. Dulu 13 sekarang lima…kita nak parti menggerakkan parti masing-masing. Jika parti kuat maka BN secara sendirinya akan kuat.

“Boleh jadi nanti kalau ada PRK lagi yang mana kawasan dulu diwakili oleh MIC kita benarkan MIC pula menggunakan logo mereka dan di tempat lain pula kalau ianya kawasan UMNO bertanding kita gunakan logo UMNO.

“Di situ nanti kita akan dapat lihat jika individual parti kuat, kita percaya gabungan akan secara automatik akan kuat. Tidak timbul soal bahawa ini bibit perpecahan dalam BN atau kita tidak lagi sekata. Kita masih lagi menjadi sebagai gabungan BN walaupun dah tinggal lima parti kita akan teruskan. Mungkin selepas ini tidak lagi dipanggil BN atau apa…kalau dulu lepas 1969 daripada perikatan kita tukar kepada BN. Sekarang sudah lebih 30 tahun…supaya kita dapat memberikan produk baru.

“Paling penting PRK ini untuk meninjau dan mengukur sejauh mana parti masing-masing masih lagi atau dapat menerima mandat daripada pengundi yang diwakili selama ini. Jadi ini merupakan ujikaji dan tempat untuk mengukur sejauh mana prestasi parti kita,” ujarnya. –MediaUMNO

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.